TPM sahkan Jalan Alor dan kawasan sekitarnya selamat
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi mengesahkan Jalan Alor dekat Bukit Bintang dan kawasan sekitarnya selamat.
Beliau turut memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia bahawa tidak ada sebarang ancaman keganasan yang akan berlaku di situ memandangkan pihak berkuasa telah pun bersiap sedia di kawasan itu.
“Saya ingin mengesahkan bahawa kawasan berkenaan (Jalan Alor) dan beberapa kawasan lain yang dikategorikan sebagai bahaya adalah dalam pemerhatian ketat polis.
“Kami ingin memberikan keyakinan kepada orang ramai pihak polis telah bersiap siaga bahawa tidak ada sebarang ancaman keganasan dilakukan.
"Kita gunakan sebarang usaha untuk memastikan masalah yang timbul dapat diatasi,” katanya kepada pemberita ketika waktu rehat Persidangan Menteri-Menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan kali ke-10 di ibunegara hari ini.
Kata Zahid lagi, sebelum ini pihak berkuasa Malaysia mendapat maklumat risikan daripada beberapa pihak termasuk Amerika Syarikat bagi memastikan keselamatan di kawasan tersebut.
Zahid juga mengucapkan terima kasih kepada badan risikan antarabangsa kerana memberi maklumat berkenaan risikan itu.
“Kami berterima kasih kepada badan risikan antarabangsa yang memberikan input kepada kami lebih berhati-hati untuk kami menentukan tidak sebarang ancaman keganasan dilakukan di mana-mana tempat di Malaysia,” katanya.
Sebelum ini kedutaan Amerika Syarikat dan Suruhanjaya Tinggi Australia dilapor telah mengeluarkan nasihat perjalanan tentang kemungkinan berlaku serangan pengganas di kawasan itu.
Sementara itu, Zahid turut menyeru agar orang ramai memberi maklum balas yang benar kepada pihak berkuasa bagi memastikan tidak ada sebarang masalah yang timbul.

