Bayi perlu RM160,000 pembedahan hati
Muhammad Syaffiq Mohd Saharuddin, bayi lapan bulan yang menghidap penyakit kegagalan hati memerlukan bantuan kira-kira RM160,000 untuk membolehkannya melakukan pembedahan hati di China.
Ibunya, Zuraitun Zakaria berkata Muhammad Syaffiq, anak kelimanya yang dilahirkan normal itu, dikesan menghidap penyakit tersebut semasa berusia empat bulan.
Zuraitun, 34, berkata ketika itu Muhammad Syaffiq, yang menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bandar Mas di sini, dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sultan Ismail Johor Baharu berikutan terdapat kesan kuman pada darahnya.
"Selepas itu, Muhammad Syaffiq dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah Johor Baharu tiga hari kemudian bagi menjalani pembedahan segera.
"Bagaimanapun pembedahan itu gagal dan tidak boleh diteruskan berikutan doktor mengesahkan Muhammad Syaffiq menghidap penyakit ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Semenchu, di Kota Tinggi.
Zuriatun, berkata selain mempunyai kulit pucat dan matanya yang kekuningan, perut anaknya juga mengeras dan buncit.
Muhammad Syaffiq turut membesar seperti biasa di mana berat badannya kini adalah tujuh kilogram berbanding berat badan ketika dilahirkan iaitu 3.01kilogram.
"Bagaimanapun, doktor yang merawat Muhammad Syaffiq memberitahu itu adalah berat air yang berada dalam perutnya akibat kegagalan hati untuk berfungsi secara normal," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Zuraitun Zakaria di talian 019-7043423.
- Bernama

