Bekas menteri besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo, yang telah disabitkan dan dihukum penjara setahun kerana rasuah semalam, dijangka kehilangan lebih daripada pencen, kerana lesen amalannya mungkin dibatalkan.

Pengamal perubatan dan doktor gigi akan kehilangan lesen mereka apabila disabit atas sesuatu kesalahan, dan oleh itu sebarang peluang bagi bekas menteri besar Selangor itu untuk menyediakan khidmat masyarakat secara percuma mungkin tidak boleh dilaksanakan, kata seorang peguam kanan.

Baljit Singh Sidhu berkata ini termaktub di bawah Seksyen 19 Akta Perubatan 1971 dan juga Akta Pergigian 1971, di mana apabila sabit atas sesuatu kesalahan, seorang doktor atau doktor gigi kehilangan lesen amalannya.

"Oleh itu, cadangan untuk melaksanakan khidmat masyarakat dengan memberi perkhidmatan pergigian percuma kepada orang miskin, bagi menggantikan sesuatu hukuman penjara adalah tidak betul," kata Baljit (foto), yang juga ahli jawatankuasa undang-undang jenayah Majlis Peguam Malaysia, kepada Malaysiakini .

Seksyen 19 Akta Perubatan di bawah sekatan ke atas pendaftaran menyatakan jika seseorang yang memohon untuk didaftarkan sementara atau penuh telah:

(a) didapati bersalah pada bila-bila masa atas sesuatu kesalahan berkenaan dengan fraud, kecurangan atau keburukan akhlak atau atas sesuatu kesalahan yang boleh hukum dengan pemenjaraan (sama ada pemenjaraan sahaja atau sebagai tambahan kepada denda atau

sebagai ganti denda) selama tempoh dua tahun atau lebih; atau

(b) didapati oleh Majlis, selepas menjalankan penyiasatan yang sewajarnya bersalah kerana berkelakuan buruk dari apa-apa jua segi profesion atau selainnya tidak mempunyai nama dan kelakuan baik; atau

(c) didapati oleh panel kajian semula perubatan, yang hendaklah terdiri daripada tidak kurang daripada tiga orang pengamal perubatan yang dilantik oleh Majlis, selepas menjalankan penyiasatan yang sewajarnya sebagai tidak layak untuk melaksanakan kewajipan profesionalnya oleh sebab keadaan mental atau fizikalnya.

Majlis boleh mengarahkan Pendaftar supaya tidak memasukkan nama orang itu dalam Daftar.

Pendaftar hendaklah dengan serta merta memberi orang yang berkenaan notis secara bertulis mengenai apa-apa arahan oleh Majlis tidak membenarkan nama orang itu dimasukkan dalam Daftar.

Apabila sesuatu penyiasatan dijalankan di bawah perenggan (1), pemohon berhak hadir di hadapan Majlis dan mendengar sendiri atau melalui peguam bela dan peguam cara.

[Baca berita penuh]