Dua kawasan baru mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat hingga 1 tengah hari ini iaitu Petaling Jaya dan Batu Muda dengan masing-masing 102.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagaimanapun kawasan yang mencatat IPU tidak sihat di Johor berkurang apabila hanya tiga kawasan masih mencatatkan IPU tidak sihat, berbanding empat pada 9 pagi tadi.

Kota Tinggi yang mencatat IPU tidak sihat iaitu 101 pagi tadi menunjukkan penurunan kepada 98 (tahap sederhana) manakala Pasir Gudang masih berada pada tahap tidak sihat iaitu 123, begitu juga Larkin Lama (113) dan Muar (116).

Sementara itu, Bukit Rambai di Melaka masih mencatat bacaan tertinggi IPU tidak sihat iaitu 146, diikuti Port Dickson (142) dan Bandaraya Melaka (136), manakala Balok Baru di Kuantan dan Banting di Selangor mencatatkan IPU sama iaitu 132.

Selain itu, kawasan lain yang masih mencatatkan IPU tidak sihat adalah Kemaman dengan bacaan 123, Nilai (121), Seremban (118), Pelabuhan Kelang (109), manakala Shah Alam, Paka di Terengganu dan Putrajaya masing-masing dengan bacaan 112.

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

- Bernama