Exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah memberi amaran kepada pemilik anjing dan kucing agar di negeri ini agar tidak membawa binatang peliharaan mereka ke kawasan wabak dan sebaliknya.

Sekiranya keadaan itu tidak dapat dielakkan, pemilik perlu mendapat permit khas dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri sebelum dibenarkan berbuat demikian.

Ini memandangkan, negeri Selangor masih bebas dari wabak anjing gila, kata Ean dalam kenyataannya hari ini.

“Pemilik-pemilik juga dinasihatkan untuk mengawal pergerakan binatang peliharaan daripada bercampur dengan anjing liar,” katanya.

Anjing dari negeri ini yang ingin dibawa ke kawasan jangkitan perlu diberikan vaksin, katanya lagi yang menyebut, tiada kes positif penyakit anjing gila dilaporkan sehingga Isnin lalu.

Usaha pemantauan dan pencegahan kini ditingkatkan dengan kerjasama jabatan tersebut dan juga pihak berkuasa tempatan, tambah Ean.

“(Usaha ini) termasuk menambah kekerapan pengujian sampel anjing dari 12 PBT negeri Selangor daripada sekali setahun kepada setiap bulan sehingga isu wabak penyakit ini selesai,” katanya.

Negeri di utara semenanjung, Perlis, Pulau Pinang dan Kedah kini dikategorikan sebagai kawasan wabak anjing gila.