Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS PP: Tukar YDP MAINPP kuasa agong
Diterbitkan:  Sep 30, 2015 6:47 PM
Dikemaskini: 10:54 AM

Pemuda PAS Pulau Pinang menegaskan jawatan yang dipertua (YDP) Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) terletak bawah perkenan yang di-pertuan agong.

Justeru, kata ketuanya Afnan Hamimi Taib Azamudden, Pemuda PKR Pulau Pinang, yang mahu timbalan pesuruhjaya PAS negeri Datuk Mohd Salleh Man mengosongkan kerusi itu, harus hormati pada hak istimewa itu.

“Pemuda PAS Pulau Pinang menasihatkan supaya semua pihak menghormati kuasa prerogatif yang di-pertuan agong selaku ketua agama Islam bagi negeri Pulau Pinang,” kata Afnan dalam kenyataannya hari ini.

Beliau juga berkata AMK negeri memberi keyakinan penuh kepada kebijaksanaan seri paduka memilih individu layak membangunkan Islam di negeri itu, khususnya mengetuai MAINPP.

Dua sayap utama PKR Pulau Pinang – AMK dan Wanita – semalam dilapor mendesak Salleh mengosongkan jawatan yang disandangnya.

Ketua AMK Pulau Pinang Asrol Sani Abdul Razak berkata desakan itu wajar kerana PAS tidak lagi bersama dalam pentadbiran kerajaan negeri seperti diumumkan Ketua Menteri Lim Guan Eng, lapor Mstar .

PAS tidak menyertai gabungan baru dengan DAP dan PKR. Parti serpihannya, Parti Amanah Negara (AMANAH) turut bergabung dalam Pakatan Harapan.

Lunas kehendak politik

Sementara Ketua Wanita PKR negeri Nur Zarina Zakaria berkata jawatan YDP wajar diberikan kepada PKR sebagai parti kedua terbesar di Pulau Pinang dengan 10 Anggota Dewan Undangan Negeri.

Pelantikan YDP MAIPP untuk tempoh dua tahun setiap penggal ditentukan oleh yang di-pertuan Agong selepas cadangan calon dikemukakan kerajaan negeri.

Sementara itu, Afnan juga menyifatkan kenyataan sayap PKR negeri itu berbeza dengan kenyataan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail yang mahu meneruskan kerjasama dengan PAS.

Pemimpin muda PAS itu juga menegaskan mereka komited membangunkan negeri itu sama ada diberi kuasa pemerintahan atau tidak atas kepercayaan ia amanah Allah kepada manusia sebagai khalifah.

“Jawatan dalam kerajaan adalah amanah daripada Allah SWT dan rakyat, bukannya tempat untuk melunaskan kehendak politik kepartian semata-mata,” katanya.

“Individu yang dilantik memegang jawatan tersebut perlu membangunkan institusi MAINPP dan Islam di negeri Pulau Pinang mengikut acuan pembangunan Allah SWT, bukan mengikut acuan nafsu manusia.”


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS