Pelarian didakwa ancaman nilai Kristian Eropah
Banyak pihak melahirkan perasaan kurang senang dengan kenyataan Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban bahawa pelarian dan pendatang yang memasuki negara itu berpotensi menjadi ancaman kepada nilai Kristian Eropah.
Orban berkata kebanyakan mereka adalah orang Islam yang melarikan diri dari peperangan dan kemiskinan di Asia dan Timur Tengah, lapor Voice of America .
Sekurang-kurangnya 5,000 pelarian dan pendatang menyeberangi sempadan Hungary ke Austria setiap hari bagi mencari suaka.
"Kebanyakan daripada mereka sangat letih. Tetapi, ramai yang gembira berada di sini, di Austria setelah melintasi sempadan ke Austria," kata Gerald Pangl, jurucakap Jabatan Polis Burgenland, Austria.
Bagaimanapun, Hungary dilaporkan telah bertindak kurang mesra apabila melaksanakan sekatan di sepanjang Serbia dan Croatia untuk melindungi sempadan Kesatuan Eropah.
Terdapat segelintir masyarakat di negara itu tidak bersetuju apabila nilai-nilai masyarakat Eropah Kristian dipertaruhkan.
"Saya seorang Hungary asli. Dan saya rasa tidak sedap mendengar komen sebegitu.
“Dan, saya berharap ahli-ahli politik tidak serius dalam perkara itu. Kerana, ini boleh melemahkan struktur atau keamanan dalam masyarakat, "kata Presiden Pertubuhan Islam di Hungary, Sultan Sulok.
Hungary pernah diperintah oleh empayar uthmaniah lebih dua abad. Kini terdapat kurang daripada 50,000 umat Islam di negara itu.

