Penjara: Uthaya fail notis usul tubuh RCI
Peguam P Uthayakumar memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi mendapatkan perintah untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung layanan pihak penjara ke atas banduan.
Uthayakumar memfailkan notis itu di pejabat Pendaftar Mahkamah menerusi Tetuan Kumar Hashimah & Co.
Beliau menamakan enam responden iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Pengarah Jabatan Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar; Pengarah Penjara Kajang Abdul Wahab Abdul Kassim; Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia.
Menerusi notis berkenaan, Uthayakumar memohon perintah satu deklarasi bahawa amalan pesakit tibi dipenjarakan bersama banduan lain dan berkongsi satu pemotong kuku bersama pesakit AIDS adalah suatu perlanggaran di bawah Akta Penjara 1995.
- Bernama

