mk-logo
Berita
ROS lulus penubuhan Parti Amanah Negara semalam
Diterbitkan:  Oct 2, 2015 11:00 AM
Dikemaskini: 11:08 AM

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) telah meluluskan permohonan Pertubuhan Pekerja-pekerja Malaysia untuk meminda undang-undangnya termasuk penukaran nama pertubuhan itu kepada Parti Amanah Negara (AMANAH).

Ketua Pengarahnya Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata permohonan itu diluluskan semalam berdasarkan kepada keputusan Kongres Luar Biasa yang diadakan pertubuhan berkenaan pada 25 Ogos dan 8 September lepas.

"Kelulusan yang diberikan ini antara lain merangkumi pindaan nama pertubuhan tersebut daripada Pertubuhan Pekerja-pekerja Malaysia kepada Parti Amanah Negara (AMANAH), pertukaran alamat daftarnya serta pindaan perlembagaannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata melalui kongres luar biasa itu parti berkenaan telah melantik jawatankuasa baru iaitu Mohamad Sabu sebagai pengerusi dan Salahudin Ayub sebagai timbalan pengerusi.

Ahli jawatankuasa lain ialah Mujahid Yusuf (naib pengerusi 1), Hasanuddin Mohd Yunus (naib pengerusi 2), Mohd Anuar Mohd Tahir (setiausaha agung), Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus (penolong setiausaha), Asmuni Awi (bendahari agung) dan Suhaizan Kaiat (setiausaha organisasi).

-

Mohammad Razin berkata parti itu turut melantik 13 ahli jawatankuasa lain dan dua juruaudit.

Pada 31 Ogos lepas, Mohamad yang merupakan pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) mengumumkan pembentukan Parti Amanah Negara (AMANAH), yang merupakan penjenamaan semula Pertubuhan Pekerja-pekerja Malaysia untuk digunakan sebagai nama rasmi wadah politik GHB.

Bagaimanapun, Pertubuhan Pekerja-pekerja Malaysia tidak dibenarkan sama sekali untuk mengadakan sebarang aktiviti atau program atas nama Parti Amanah Negara selagi pertukaran nama belum diluluskan.

GHB merupakan platform bagi golongan profesional PAS yang dikatakan kecewa selepas ditolak anggota parti itu melalui muktamar tahunannya Jun lepas.

- Bernama

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini