Demi ekonomi, PM seru tingkatkan produktiviti
Perdana menteri hari ini menyeru rakyat Malaysia lebih produktif bagi membantu menjana pendapatan negara, seterusnya mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi.
Menegaskan masih banyak perlu dilakukan, Datuk Seri Najib Razak berkata kita perlu memupuk sifat gigih berusaha dan sentiasa berfikiran inovatif.
“Inilah yang akan membolehkan kita menjadi lebih produktif dan mendatangkan pulangan yang lebih lumayan buat diri kita sendiri sekali gus menjana pendapatan tinggi kepada ekonomi negara secara keseluruhannya,” katanya.
Mengulas ekonomi sekarang, beliau berkata beberapa cabaran sebahagian besarnya disebabkan faktor luaran selain asas ekonomi masih mampan dan kukuh.
Beliau menjelaskan produktiviti menjadi tunjang kepada sesebuah ekonomi mapan.
“Sebagai contoh, apabila kita memberi sumbangan besar untuk syarikat kita, kita akan dinaikkan pangkat sekaligus meningkatkan pendapatan kita.
“Samalah seperti negara juga, sekiranya para pekerja sesebuah negara itu lebih produktif, maka ekonomi negara mampu menjana pendapatan yang lebih untuk semua,” katanya.
Dalam ucapan disiarkan di blognya, Najib berkata, atas sebab itulah, kerajaan memberikan peruntukan besar daripada bajet tahunan untuk sektor pendidikan dan latihan.
Nilai ringgit telah mencecah paras terburuk dalam tempoh 17 tahun berbanding dolar Amerika Syarikat.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.