Isteri kepada seorang tahanan di Pusat Tahanan Simpang Renggam tidak tahu sama ada suaminya yang ditangkap semula selepas dibebaskan oleh mahkamah masih hidup atau tidak, kerana gagal menemuinya ketika melawat pusat tahanan tersebut.

Suami K Mageswari Michael Soosai telah menyertai mogok lapar selama seminggu yang membabitkan 235 tahanan di situ yang semuanya ditahan tanpa bicara, di pusat tahanan tersebut.

Mageswari telah pergi ke pusat tahanan tersebut petang semalam untuk menemui suaminya bagi memastikan keadaan kesihatannya selepas suaminya itu enggan minum atau makan, sejak menyertai mogok lapar itu pada 12 November lalu. Mereka mempunyai 15 orang anak.

"Selepas menunggu seketika di situ, seorang pegawai pusat tersebut yang bernama Ramachandran memberitahu saya yang suami saya itu tidak mahu turun dari bilik kurungannya untuk menemui saya. Bagaimana jadi begitu?

"Saya mahu tahu keadaannya dan apakah dia masih lagi hidup. Adakah yang telah mereka (pihak berkuasa pusat tersebut) lakukan terhadapnya? Apakah mereka sudah mengkebumikan mayatnya? Sebagai isterinya, saya mempunyai hak untuk tahu," katanya dalam keadaan yang sebak, ketika dihubungi hari ini.

Pegawai tersebut juga memberitahu Mageswari supaya datang semula ke pusat tahanan tersebut hari ini jika mahu menemui suaminya yang sedang ditahan di situ.

Menurut beliau, suaminya ditahan tanpa tuduhan yang jelas apabila dia pergi ke Balai Polis Rawang (Selangor) pada 26 April lalu, selepas pihak polis menghubunginya melalui telefon. Tiga hari kemudiannya, dia dihantar ke Pusat Tahanan Simpang Renggam.

Rawatan

"Pada 20 Oktober, selepas mendapatkan khidmat seorang peguam, kami telah memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Johor Baru untuk mendapatkan pembebasan Micheal. Hakim telah memutuskan bahawa suaminya hendak dibebaskan segera," kata Mageswari.

Bagaimanapun, ketika suaminya berjalan keluar melalui pintu penjara pada malam tersebut, dia ditangkap semula oleh pihak polis dan ditahan hingga sekarang.

Sementara itu, Mageswari turut mengunjungi seorang lagi tahanan dari pusat itu Balakrishnan Appala Naidu yang turut menyertai mogok lapar tersebut dan kini sedang dirawat di Hospital Kluang.

"Saya dapat bercakap dengan Bala. Katanya, dia akan meneruskan mogok lapar itu sehinggalah dia dapat berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan apabila Perdana Menteri menuangkan air ke mulutnya. Dia mahukan keadilan," tambah Mageswari.

Balakrishnan yang ditahan di Pusat Tahanan Simpang Renggam sejak 29 April 29 lalu, mengikut Ordinan Darurut (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah). Di bawah ordinan tersebut, kerajaan boleh menahan seseorang yang disyaki, selama dua tahun demi ketenteraman awam dan pencegahan keganasan.

Dia merupaka bekas ahli politik dan pengerusi sebuah cawangan MIC yang dituduh terbabit dalam kegiatan samseng dan kes-kes jenayah yang lain.

Adiknya, Thirumoorthy turut melahirkan rasa bimbangnya terhadap keadaan abangnya itu.

Suhakam

"Doktor yang merawat Bala baru memberitahu saya beberapa minit lalu bahawa dia terlalu lemah, tidak aktif dan keadaannya tidak berubah langsung. Saya bimbang keadaannya akan menjadi lebih teruk lagi," katanya ketika dihubungi di hospital tersebut.

Menurutnya lagi, abangnya membantah terhadap keadaan di pusat tersebut, layanan buruk terhadap tahanan dan kerana mereka terus ditahan di situ tanpa dibicarakan.

"Saya tidak dapat mengesahkan sama ada mogok lapar itu masih berterusan kerana kami kini sukar bertemu dengan tahanan di situ...tetapi dari apa yang saya dengar, ianya masih berjalan," katanya.

Pengarah Pusat Tahanan Simpang Renggam, Zulkifli Omar, ketika dihubungi, enggan mengulas atau mengesahkan dakwaan pihak berkuasa pusat tersebut yang mogok lapar itu telahpun berakhir.

Sementara itu, penyelaras Persatuan Masyarakat Selangor dan Wilayah Persekutuan (Permas), M Arumugam,(Permas) sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mengikuti perkembangan mogok lapar tersebut berkata 165 daripada 235 tahanan terbabit adalah berketurunan India.

Arumugam turut menyertai rombongan NGO dan ahli keluarga tahanan terbabit ketika mereka ke pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) semalam.

Mereka berharap pesuruhjaya Suhakam dapat melawat pusat tahanan tersebut tetapi malangnya tiada seorangpun daripada mereka (pesuruhjaya) yang ada di pejabat untuk menemui ahli rombongan tersebut.