Masyarakat Semai bantah pembalakan di tanah mereka
Masyarakat Orang Asli keturunan Semai dari empat kampung di Sungkai, Perak menghalang pembalak memasuki tanah milik nenek moyang mereka kerana ianya telah mencemarkan alam sekitar dan mengancam sumber kehidupan mereka.
Mereka juga mendakwa bahawa kepercayaan agama dan budaya mereka juga turut dipermainkan oleh pembalak termasuk tidak menghormati perkuburan dan batu-batu suci bagi masyarakat mereka.
Dalam laporan kepada Ketua Polis Sungkai pada 12 November lalu, 330 penduduk Kampung Rancangan Pengumpulan Semula Jernang (RPS Jernang) berkata, selagi pihak terlibat tidak memberi respon secara hitam putih, kami tidak akan membenarkan pembalak memasuki kawasan itu."
"Kami meminta kerjasama anda (polis) memantau kegiatan pembalak sebagai salah satu cara mengelak berlaku kejadian tidak diingini, seperti pergaduhan, sekiranya pembalak berkeras untuk memasuki tanah adat kami, walaupun tidak dibenarkan berbuat demikian" tambah mereka.
Seorang pemimpin RPS Jernang, Mat Epen Yoksenggah berkata penduduk telah bersemuka dengan pembalak apabila mereka memasuki tanah mereka, dan ini berakibat berlakunya pertengkaran antara kedua belah pihak.
Epen berkata, penduduk terpaksa bertindak demikian kerana surat yang telah dihantar sebelum ini, kepada beberapa agensi kerajaan negeri dan pusat, tidak menghasil apa-apa untuk melindungi kepentingan mereka di situ.
"Malah, Ketua Polis Sungkai yang kami temui tiga hari selepas kami mempuat laporan, berkata beliau tidak berbuat apa-apa kerana pembalak mempunyai lesen untuk menjalankan operasi pembalakan di situ.
Arahan lisan
"Kami memberitahu beliau, jika itulah pendiriannya, penduduk di situ akan terus mempertahankan tanah mereka daripada sebarang kerja pembalakan, kerana ini adalah tanah kami dan tanah milik nenek moyang kami," katanya ketika dihubungi hari ini.
"Apakah mereka fikir kami begitu bodoh, untuk membiarkan mereka begitu sahaja, sambil melihat pembalak membawa keluar hasil hutan dan gunung, dengan merosakkan perkuburan serta merobohkan batu-batu suci kami. Sejak 26 tahun kerja pembalakan dijalankan, kami tidak mendapat apa-apa kecuali penyakit(akibat pencemaran sungai," tambahnya.
Dalam perbincangan antara penduduk, polis dan pembalak pada 15 November lalu, pihak polis telah memberi arahan lisan supaya pembalak menyiapkan operasi dalam tempoh tiga bulan..
"Kami tidak tahu sama ada ia hanya janji-janji kosong ataupun tidak" kata Epen.
Katanya, penduduk Kampung Tidong, Ras, Kejau dan Sat yang menandatangani laporan polis itu, sebelum ini telahpun menulis surat bantahan kepada Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Nordin Mie dan Pegawai Jabatan Perhutanan Selatan Perak, Salim Ali.
Salinan surat itu juga dihantar kepada Jabatan Alam Sekitar Negeri, Jabatan Perhutanan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Exco Kerajaan Negeri dan badan-badan bukan kerajaan..
Masalah kesihatan
Mengikut seorang aktivis pejuang hak asasi Orang Asli dari Kumpulan Sinuai Pai Nanek Sengik, Rizuan Tempek: "Para pegawai, termasuk dari Jabatan Perhutanan datang bersama wakil syarikat pembalakan dan mengadakan perjumpaan dengan penduduk, tetapi mereka seperti menyebelahi pembalak dan bercakap bagi pihak mereka (pembalak)."
"Penduduk berkata aktiviti pembalakan sejak tahun 1978, telah menjejaskan kesihatan dan sumber kehidupan mereka kerana air sungai-sungai di RPS Jernang yang sebelum ini bersih dan banyak ikan, katak, penyu dan banyak lagi sumber makanan, kini telah tercemar," katanya.
"Kini terdapat tidak banyak lagi ikan, katak dan penyu dan sebagainya. Ikan kecil yang kami tangkap juga berbau lumpur," tambahnya.
Sungai-sungai di situ yang digunakan oleh penduduk sebagai sumber air minuman, mandi dan mencuci, kini telah berlumpur dan tercemar sehingga tidak sesuai lagi untuk digunakan untuk keperluan harian, kata Rizuan.
"Penduduk yang terus menggunakan air sungai berkenaan telah menghidap penyakit kulit seperti gatal kulit dan masalah penglihatan. Sekurang-kurangnya seorang penduduk dikatakan telah hilang daya penglihatannya akibat air sungai yang tercemar itu," katanya.
Rizuan berkata, sumber kayu dan pokok yang menjadi sumber utama keperluan penduduk Semai untuk membuat rumah, mengadakan majlis keraian dan tradisional, di samping bahan-bahan yang boleh dijual, kini semakin berkurangan akibat daripada kerja-kerja pembalakan itu.
Tahun lalu, satu lagi masyarakat Orang Asli Semai di Perak telah diancam akan dihalau keluar daripada tempat tinggal mereka berikutan langkah kerajaan negeri dan sebuah syarikat perladangan milik bekas seorang menteri, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayob mahu mengusahakan ladang buah-buahan di situ.
Bagaimanapun, berikutan bantahan masyarakat Kampung Chang Sungai Gepai, kerajaan negeri mengumumkan rancangan pembangunan ditangguhkan dan sehingga hari ini tiada lagi khabar mengenainya.

