Pintu bagi bekas orang kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang belot tetapi mahu menyertai semula Parti Keadilan Rakyat (PKR), masih terbuka dengan syarat mereka benar-benar insaf dan tidak mengulangi kesalahan serupa.

Bagaimanapun, mereka yang mahu menjadikan PKR sebagai batu loncatan atau ingin mendapatkan publisiti murahan serta mempunyai agenda peribadi, tiada tempat dalam parti itu.

Ketika menegaskan demikian, Naib Presiden PKR, Azmin Ali berkata, paling penting mereka perlu mengutamakan prinsip perjuangan parti yang pernah mereka ikrar dan junjung semasa berjuang bersama parti itu satu masa dahulu.

"Parti sedia memaafkan, asalkan mereka benar-benar ikhlas untuk kembali berjuang menegakkan keadilan dalam masyarakat di negara ini. Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipukul dan dipenjarakan, boleh memaafkan Tun Dr Mahathir Mohamad, tiada sebab kita tidak boleh bersikap sama terhadap bekas pemimpin yang belot itu," katanya.

Bagaimanapun, sehingga hari ini Ibu Pejabat PKR di Shah Alam belum menerima sebarang permohonan daripada bekas pemimpin utama untuk menyertai semula parti.

"Kalau mereka betul-betul mahu kembali ke pangkuan PKR, sudah tentu Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) akan membuat pertimbangan yang adil terhadap permohonan mereka itu," kata Azmin lagi.

Kembali semula

Azmin ditanya sama PKR masih membuka pintu kepada beberapa bekas pemimpin utama yang meninggalkan parti dan menyertai Umno serta yang dipecat,jika mereka berhasrat untuk kembali ke pangkuan PKR setelah pembebasan Anwar daripada penjara baru-baru ini.

Dalam tinjauan malaysiakini , beberapa bekas orang kuat Keadilan seperti Ruslan Kassim , Zahid Md Arip dan Lokman Nor Adam ( gambar ) telah menegaskan bahawa mereka tidak akan kembali ke pangkuan PKR meskipun Anwar telah dibebaskan.

Menurut Azmin lagi, bukan mudah untuk terus kekal dalam PKR kerana hanya mereka yang tahan diugut oleh pemerintah, mampu berbuat demikian.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa ketiadaan beberapa bekas orang kuat Anwar itu langsung tidak menjejaskan kekuatan PKR, sebaliknya ia semakin kukuh berikutan pembebasan Anwar.

Katanya, pembebasan bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga memungkinkan gelombang kebangkitan rakyat seperti yang berlaku pada 1999 bakal berulang.

"Orang ramai termasuk beberapa pemimpin yang sebelum ini menjauhkan diri, kini berpusu-pusu datang menunjukkan muka dan menyatakan sokongan semula.

Pendekatan lembut

"Bukan itu sahaja, ramai juga tokoh korporat yang datang ke rumah Anwar di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang untuk memberi restu dan sokongan kepada perjuangan membina masyarakat baru Malaysia," katanya lagi.

PKR kini memasuki era baru apabila parti itu menggunakan pendekatan yang lebih lembut dalam perjuangannya.

Ini bermakna konfrontasi dan pendekatan keras seperti demontrasi jalanan yang menjadi label PKR, sudah diketepikan sama sekali.

Bagaimanapun, kata Azmin, ini bukan bermakna PKR sanggup bertolak ansur terhadap ketidakadilan dan penyelewengan yang berlaku di dalam negara ini kerana perjuangan utama parti ialah membentuk masyarakat baru untuk semua bangsa di negara ini.

Ujarnya, pembebasan Anwar juga seolah-olah memberi nyawa baru kepada PKR kerana sambutan yang diterima daripada masyarakat cukup hebat dan ini tentu sekali menggerunkan Umno.