M'sia, Indonesia tangguh tandatangani MoU pembantu rumah
Kerajaan Malaysia dan Indonesia telah menangguhkan rancangan untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berhubung pengambilan pembantu rumah dari Indonesia.
Kerajaan Malaysia dan Indonesia telah menangguhkan rancangan untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berhubung pengambilan pembantu rumah dari Indonesia.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Fong Chan Onn dilaporkan sebagai berkata, rancangan itu telah ditangguhkan sehinggalah dicapai persetujuan yang memuaskan kedua-dua pihak berhubung butiran terperinci dalam MoU tersebut.
"Kita tidak perlu terburu-buru menandatangani MoU mengenai pembantu rumah. Kita akan mengadakan perbincanan lanjut sebelum menandatangani MoU itu," lapor akhbar The Star hari ini.
Kes penderaan teruk pembantu rumah Indonesia, Normala Bonant, telah mengejutkan negara dan ianya telah mendorong kedua-dua kerajaan untuk berunding Mei lalu berhubung MoU tersebut.
Berikutan itu, kerajaan Indonesia mengemukakan draf perjanjian supaya pengambilan pembantu rumah hanya dibuat melalui agensi-agensi Indonesia yang sah yang turut diberi tanggungjawab untuk melatih mereka.
Malaysia pula mahu kerajaan Indonesia menubuhkan sebuah pusat untuk menyelia pemilihan pembantu rumah negara itu bagi mengelak mereka memberi dokuman atau maklumat palsu mengenai umur mereka, yang sebelum ini menyebabkan ramai pembantu rumah di bawah umur dihantar bekerja di negara ini.
Pengalaman kerja
Akhbar New Straits Times pula berkata, Kuala Lumpur pula tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan Indonesia supaya agen pekerjaan dibenarkan membawa masuk pembantu rumah tanpa mengambil kira latarbelakang dan pengalaman kerja mereka.
Pemandu rumah terbabit juga mengadu dibayar gaji murah di Malaysia berbanding dengan negara-negara jiran lain seperti Singapura dan Brunei.
Malaysia merupakan negara kedua terbesar, selepas Arab Saudi, menggunakan khidmat pembantu rumah dari Indonesia.
Menurut statistik kerajaan, daripada sejumlah 240,000 pembantu rumah di negara ini, hampir 230,000 daripadanya adalah dari Indonesia, 6,000 dari Filipina dan bakinya dari Kemboja dan Sri Lanka.
Malaysia sudah menandatangani MoU serupa dengan Sri Lanka pada Ogos tahun lalu bagi membekalkan 40,000 hingga 60,000 pembantu rumah terlatih dan pekerja ladang.
Dalam laporannya Julai lalu, Badan Pengawasan Hak Asasi Manusia yang beribupejabat di Amerika Syarikat, menggesa kerajaan Indonesia dan Malaysia supaya memperbaiki undang-undang buruh masing-masing bagi melindungi hak pembantu rumah Indonesia yang didakwa telah didera dan dianiaya oleh majikan dan agensi pekerjaan.
- AFP

