Di manakah perginya 17 pesuruhjaya Suhakam?
Cuti panjang bagi menyambut perayaan Deepavali dan Hari Raya Aidilfitri secara rasminya berakhir Selasa lalu, tetapi sejak hari berikutnnya, tidak seorangpun pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang dapat dihubungi di pejabat masing-masing.
Cuti panjang bagi menyambut perayaan Deepavali dan Hari Raya Aidilfitri secara rasminya berakhir Selasa lalu, tetapi sejak hari berikutnnya, tidak seorangpun pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang dapat dihubungi di pejabat masing-masing.
Keadaan ini mengecewakan seorang aktivis sosial veteran yang membawa delegasi keluaraga tahanan di Pusat Tahanan Sungai Renggam, ke ibupejabat Suhakam di Kuala Lumpur Rabu lalu, untuk menyerahkan memorandum kepada suruhanjaya tersebut.
Suhakam mempunyai 17 pesuruhjaya dan sejak tiga hari lalu, tidak seorangpun berada di pejabat. Bukanlah satu masalah besar untuk menempatkan sekurang-kurangnya pesuruhjaya di pejabat setiap hari," kata S Arutchelvan dari Suaram yang membantu anggota keluarga tahanan yang mengadakan mogok lapar di pusat tahanan tersebut.
Beliau melahirkan rasa kecewanya terhadap sikap pesuruhjaya Suhakam yang didakwanya tidak serius dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada mereka.
"Mereka ini dibayar gaji, jadi mereka mestilah menganggap tugas mereka itu adalah sepenuh masa. Jika mereka tidak mempunyai masa untuk mengendalikan soal hak asasi manusia, lebih baik mereka meletak jawatan," tegas Arutchelvan.
Kesemua pesuruhjaya Suhakam dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Mereka yang dilantik sebagai pesuruhjaya Suhakam sejak ianya diwujudkan pada tahun 1999, tidak berkhidmat secara sepenuh masa.
Julai lalu, bekas pelapor khas Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai kebebasan hakim dan peguam, Param Cumaraswamy mencadangkan supaya Suhakam dikendalikan oleh pesuruhjaya yang berkhidmat sepenuh masa dan tidak terbabit daengan tugas-tugas lain.
Kecewa
Ketika dihubungi di Sabah hari ini, Pengerusi Bahagian Pengaduan Suhakam, Prof Hamdan Adnan turut melahirkan rasa kecewanya kerana tidak seorangpun pesuruhjaya berada di ibupejabat Suhakam Rabu lalu untuk menemui keluarga tahanan tersebut.
"Saya tidak tahu apa yang berlaku. Sepatutnya ada seorang pesuruhjaya bertugas setiap hari," kata sambil menegaskan beliau kini berada di Malaysia Timur untuk menemui pegawai Suhakam di pejabat cawangannya di Kota Kinabalu, walaupun masih bercuti.
Ketika diminta mengulas lanjut mengenai ketiadaan rakan-rakan sejawatnya yang datang bertugas di ibupejabat, Adnan bersetuju bahawa Suhakam tidak memerlukan ramai pesuruhjaya kecuali beberapa pesuruhjaya dan pengerusi yang bertugas sepenuh masa.
Pada masa ini, Suhakam dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman yang juga merupakan seorang tokoh korporat.
Ketika malaysiakini menghubungi pejabat Suhakam petang ini, tiadak seorangpun pesuruhjaya yang ada, tetapi seorang pegawai di situ memberitahu bahawa memorandum diterima dari keluarga tahanan tersebut, telahpun dirujuk kepada jawatankuasa berkenaan.
Mengenai kes di Pusat Tahanan Simpang Renggam, Adnan berkata wakil Suhakam telah melawat pusat tahanan itu tiga bulan lalu dan mendapati tiada ada apa-apa masalah dengan tempat tinggal tahanan di situ.
"Isunya ialah mereka ditahan berterusan di situ, kerana kami tidak menemui sebarang bukti ketika lawatan tersebut, yang menunjukkan berlakunya pelanggaran hak asasi manusia. Masalahnya ialah para tahanan ini disyaki penjenayah dan didakwa boleh mengancam keselamatan orang ramai," katanya.
Bagaimanapun, Adnan juga menegaskan bahawa Suhakam tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk tahanan tanpa perbicaraan dan selama inipun, pihaknya telah menggesa pihak berkuasa supaya mendakwa dan membicarakan tahanan terbabit di mahkamah.

