Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran bahawa ekonomi negara akan menghadapi malapetaka jika dayasaing negara terus menjunam.

"Percayalah cakap saya, saya pernah menjadi Menteri Kewangan. Keadaan ekonomi Malaysia sekarang tidak baik, kita bakal menghadapi masalah besar," katanya kepada kira-kira 4,000 orang yang menghadiri majlis makan malam di Ipoh minggu lalu.

"Kini mempunyai defisit yang besar, pelaburan asing tidak masuk, kita gagal bersaing. Kita 'mo lui' (dalam Bahasa Hokkien bermakna tiada wang), sekarang kita ada masalah," katanya kepada para hadiran yang sebahagian besarnya terdiri daripada kaum Cina.

Anwar yang pernah menjadi Menteri Kewangan dari tahun 1991 sehinggalah beliau dipecat pada 1998, menekankan pentingnya mempunyai dasar yang adil dan yang membenarkan persaingan.

"Daya saing kita di peringkat dunia telah jatuh. Ketika saya menjadi Menteri Kewangan, kita berada pada nombor 14, tetapi kini jatuh ke tahap 30, tetapi masih ada yang kata saya bodoh," katanya berseloroh, sambil menegaskan bahawa amalan tidak beretika perlu dihentikan.

"Kebanyakan projek mendapat pembayaran terlebih dahulu (sebelum kerja dimulakan). Saya tahu mengenainya, para pemimpin Cina tahu mengenainya. Kita mesti hentikannya sekarang atau kita akan hilang daya saing," katanya.

Beliau yang meringkuk dalam penjara selama enam tahun atas dakwaan rasuah, juga mendakwa peruntukan saham yang beliau luluskan untuk dibahagikan kepada masyarakat miskin India, "didapati telah hilang".

Menurut Laporan Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia (WEF) bagi tahun 2004, kedudukan Malaysia telah merosot dua anak tangga dari tangga 29 pada tahun 2003 ke tangga 31 tahun ini.

Tidak menyesal

Anwar yang dibebaskan daripada tuduhan liwat pada 2 September lalu, juga menekankan penting membasmi rasuah kerana ia merencatkan prestasi ekonomi negara.

"Seorang rakan ahli perniagaan berbangsa Cina telah memberitahu saya," Apa yang boleh kita buat? Jika tiada rasuah, saya tidak dapat kontrak, jadi 'cincai cincai biau kin lah' (dalam Bahasa Hokkien bermakna biarlah ia berlaku, asalkan ok')

"Saya memberitahunya, tugas pegawai ialah meluluskan lesen, mereka telah dibayar untuk meluluskannya, jadi mengapa kamu membayar lagi," kata Anwar yang diikuti dengan gelak ketawa para hadiri yang geli hati dengan gaya percakapannya dalam bahasa Melayu dan Cina.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau terpaksa membayar harga yang tinggi kerana berjuang menentang rasuah.

Merujuk kepada tindakan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor membelasahnya, Anwar berkata, mereka yang memegang jawatan tinggi kerajaan pun tidak terkecuali daripada dipukul 'separuh nyawa'.

"Jika saya, seorang Timbalan Perdana Menteri pun kena (dibelasah), orang lain pun akan kena juga. Jadi, jangan kata ianya tidak boleh berlaku terhadap kamu," katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak pernah menyesal merengkuk dalam penjara kerana berjuang menentang rasuah.

"Orang luar berkata 'Anwar kamu bodoh'. Jika kamu cerdik, kamu harus membiarkan sedikit rasuah dan 'menyelamatkan' mereka (ahli perniagaan), hari ini awak mungkin sudah menjadi Perdana Menteri.

"Tetapi saya memberitahu anda bahawa saya tidak pernah menyesal kerana rakyat kini semakin kuat dan sedia untuk perubahan," katanya di tengah-tengah tempukan gemurah dan laungan "reformasi".