Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, hari ini menyuarakan kebimbangannya mengenai ketegangan kaum yang semakin menjadi-jadi dalam negara ini.

Menyuarakan perkara itu dalam mesyuarat agung tahunan parti itu hari ini, Liow yang juga menteri pengangkutan dalam ucapannya berkata "negara kita sedang diancam".

"Ketegangan antara kaum telah mencetuskan api perkauman yang merbahaya, sudah tentu akan menjejaskan negara kita yang tercinta.

"Saya bimbang, Dato Seri (Najib), sangat mengambil berat. Saya yakin rakyat cemas, bimbang dan kecewa tentang apa yang sedang berlaku, "katanya.

"Kenapa begitu? Ini kerana sentimen kebencian, dan ekstremisme yang melanda masyarakat kita semakin meningkat pada kadar yang membimbangkan.

"Ia bukan sahaja terhad kepada politik, tetapi ia mula merebak ke dalam kehidupan harian kita," katanya pada majlis perasmian mesyuarat agung tahunan itu yang dirasmikan oleh Najib.

Ucapan yang penuh hati-hati beliau itu merujuk kepada insiden pada himpinan 'Baju Merah' pada 16 September tanpa menamakan individu yang terlibat. [Baca berita asal]

Sementara itu Bernama melaporkan MCA akan terus bersama BN dalam menggalas tanggungjawab untuk memajukan Malaysia atas dasar kebersamaan dan kesefahaman antara kaum.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata persepsi rakyat terhadap parti itu dan BN juga perlu terus diperkukuh dalam meneruskan agenda t0ransformasi parti dan negara.

"Bangkitlah kita bersama-sama bersatu padu berganding bahu dalam memastikan bukan sahaja kesinambungan BN terjamin, malah apa yang lebih utama ialah memastikan masa hadapan bumi Malaysia yang tercinta ini terjamin, aman dan makmur selama-lamanya," katanya dalam ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-62 di Wisma MCA di ibu negara, hari ini.

Perhimpunan itu dirasmikan Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam pada itu, Liow berkata MCA juga berikrar akan sentiasa meneruskan perjuangan dan terus menyokong kepimpinan perdana menteri untuk melaksanakan dasar kesederhanaan, keharmonian, dan perpaduan dalam kepelbagaian, selaras dengan semangat yang didokong BN.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan Majlis Rekonsilasi Tadbir Urus Politik, Hal Ehwal Agama dan Perpaduan bagi menyelesaikan isu ketegangan kaum, perbezaan fahaman agama dan sosioekonomi masyarakat.

"Sudah tiba masanya kita perlu melakukan sesuatu untuk menangani isu perkauman yang sedang kita hadapi. Jurang pemikiran antara kaum, jurang pemikiran antara generasi, serta jurang pemikiran antara masyarakat bandar dan luar bandar perlu ditangani dengan segera," katanya.

Liow juga berkata MCA akan terus menekankan nilai-nilai murni seperti tadbir urus yang baik, ketelusan, akauntabiliti dan integriti yang akan terus diberi keutamaan oleh MCA.

Dalam ucapan dasarnya, Liow turut mengkritik DAP dengan mendakwa 'pendekatan konfrontasi' yang dipraktikkan mereka ini akan membawa kerugian terutamanya kepada masyarakat Cina dan akhirnya rakyat akan menjadi mangsa.

Justeru, Liow berkata MCA akan tetap berpegang teguh dengan prinsip kesederhanaan, keharmonian dan perpaduan dalam semua pendekatannya dan tidak akan sesekali memainkan isu perkauman.

Sementara itu, mengulas mengenai aspek ekonomi, Liow berkata sejak pelancaran Kemajuan Keusahawanan Malaysia (SAME) pada Julai lalu bagi membantu Industri Kecil dan Sederhana (IKS), sebanyak RM26.6 juta telah diluluskan di bawah pembiayaan Kojadi kepada 124 pemohon.

Menyedari kepentingan pembiayaan kewangan bagi pembangunan IKS, MCA akan membuat permohonan bagi menubuhkan sebuah Bank Koperasi Kojadi bagi memperkasakan pembangunan ekonomi dan transformasi secara berkesan.

Seramai 1,761 orang perwakilan atau 74.1 peratus daripada 2,357 perwakilan seluruh negara menghadiri perhimpunan tahun ini.