Mageswari dibenar temui suaminya yang mogok lapar
K Mageswari, isteri kepada salah seorang tahanan yang mogok lapar di Pusat Tahanan Simpang Renggam di Johor, akhirnya dapat berjumpa suaminya selepas gagal berbuat demikian Rabu lalu.
K Mageswari, isteri kepada salah seorang tahanan yang mogok lapar di Pusat Tahanan Simpang Renggam di Johor, akhirnya dapat berjumpa suaminya selepas gagal berbuat demikian Rabu lalu.
She dibenarkan menemui suaminya, Michael Soosai, apabila pergi sekali lagi di pusat itu Jumaat lalu.
"Saya menemuinya selama kira-kira 30 minit tetapi kami tidak berbual panjang kerana ada beberapa pengawal di situ. Beliau masih mogok lapar dan sangat lemah untuk berjalan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Soosai telah ditahan di situ sejak 29 April lalu di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) yang membenarkan penahanan selama dua tahun bagi melindungi ketenteraman awam dan mencegah keganasan.
Mahkamah Tinggi Johor baru telah mengarahkan supaya Soosai dibebaskan pada 20 Oktober lalu, tetapi dia ditahan semula oleh polis pada hari yang sama.
Bertemu menteri
Mageswari dan peguamnya, M Manoharan mendapat temujanji untuk menemui Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar, pada jam 2 petang ini untuk mendapatkan pembebasan suaminya itu.
"Perintah menangkapnya semula, juga berasaskan kepada dakwaan dan alasan yang sama sepertimana dalam perintah ketika dia mula-mula ditahan dahulu (yang telah ditolak oleh mahkamah). Kami mahu Timbalan Menteri berkenaan menghormati keputusan mahkamah dan membebaskannya segera," kata Manoharan.
Beliau berkata, pihaknya mahu mendapatkan jaminan Soosai tidak akan ditangkap semula dan juga menggesa kementerian itu berhenti bersikap 'tidak tahu' apabila berlaku kesilapan ketika mengeluarkan perintah tangkapan itu.
"Mereka tidak boleh menggunakan alasan (seperti dalam kes ini) bahawa perintah ditandatangani oleh menteri keselamatan yang lain. Mereka tidak menghormati mahkamah jika tidak menghiraukan keputusannya. Kami akan mengambil tindakan selanjutnya jika permintaan kami itu ditolak," katanya.

