Dewan Rakyat hari ini menolak usul pihak pembangkang untuk merujuk Ahli Parlimen Titiwangsa Astaman Abdul Aziz yang didapati bersalah terlibat dalam politik wang sewaktu pemilihan Umno kepada jawatankuasa Terpilih Parlimen.

Ketika mengemukakan usul tersebut, Ketua Pembangkang Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timor) berkata Astaman tidak seharusnya dibenarkan tmenghadiri persidangan Dewan Rakyat selepas Umno telah menggantung keahliannya selama tiga tahun.

Menurut Lim, Astaman seharusnya dirujuk kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen supaya kedudukannya boleh dibahas, diikuti dengan pengundian. Beliau berkata, tindakan ke atas Astaman, akan melindungi reputasi dan kredibiliti Dewan Rakyat.

Timbalan Speaker Lim Si Cheng menolak usul itu dengan alasan penggantungan keahlian Astaman dalam Umno tidak menjejaskan statusnya sebagai seorang Ahli Parliamen.

Sambil menegaskan bahawa tiada peruntukan dalam Peraturan Tetap untuk membincangkan masalah parti, beliau menggesa Lim tidak membesarkan isu tersebut.

Tindakan undang-undang

Naib Presiden Umno yang juga Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mencelah bahawa Astaman sedang merayu terhadap penggantungan keahliannya dan oleh itu adalah tidak sesuai untuk membincangkan sama ada beliau boleh atau tidak boleh menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Timbalan speaker menjawab bahawa memang tiada sebarang keperluan untuk memaklumkan kepada Dewan Rakyat mengenai perkembangan mengenai hal-ehwal parti.

Sementara itu, dalam kenyataan akhbarnya sebelum ini, Lim berkata pemimpin dan ahli Umno yang didapati bersalah terlibat dengan politik wang seharusnya tidak dikecualikan daripada tindakan undang-undang.

Beliau menyifatkannya sebagai suatu pencemaran terhadap reputasi dan maruah Dewan Rakyat jika Ahli Parlimen Umno yang didapati bersalah dengan politik wang dan digantung selama tiga tahun, tidak dihalang daripada meneruskan tugas sebagai Ahli Parlimen.

Astaman adalah salah ahli dan pemimpin Umno peringkat bahagian yang didapati bersalah terbabit dalam politik wang sewaktu pemilihan parti baru-baru ini dan digantung keahliannya selama tiga tahun.