Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan S'gor disaran adakan 'hari tol percuma'
Diterbitkan:  Oct 15, 2015 10:39 AM
Dikemaskini: 2:53 AM

ADUN Kinrara Ng Sze Han menyarankan kerajaan Selangor supaya memanfaatkan keuntungan GLC kerajaan negeri sebagai pemegang saham dalam syarikat konsensi Tol Litrak dan Kesas, dengan memberikan tol percuma minimal sehari dalam seminggu untuk rakyat selangor.

Ng Sze Han pernah mengemukakan cadangan yang sama semasa membahaskan belanjawan Selangor 2014 agar kerajaan negeri tidak menjual pegangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam syarikat Kesas Holdings Bhd bagi membolehkan rakyat di negeri itu menikmati bayaran tol percuma di lebuhraya Kesas.

"Akan tetapi (ia) tidak mendapat sambutan daripada Yang Amat Berhormat waktu itu," kata Ng dalam satu kenyataan hari ini.

Dengan itu, Ng Sze Han berharap Menteri Besar, Azmin Ali akan mempertimbangkan saranan itu untuk membantu rakyat dan melawan pelaksanaan dasar “kenaikanan harga tol” oleh Barisan National.

Selain itu, Ng Sze Han menyifatkan tindakan Azmin mengarahkan dua syarikat milik negeri Selangor untuk memberi penjelasan berhubung kenaikan tol di dua lebuhraya - Damansara-Puchong (LDP) dan Sprint - sebagai satu tindakan yang tepat dan berjiwa rakyat.

“Saya menyambut baik kernyataan dan tindakan menteri besar . Tindakan pantas beliau mengarahkan PKNS dan Kumpulan Perangsang untuk menghadiri mesyuarat MTES sebaik sahaja kenaikan tol diumumkan, menunjukkan kepekaan kerajaan negeri Selangor terhadap kepentingan dan kebajikan rakyat,” katanya.

Ng Sze Han bersetuju dengan Azmin bahawa PKNS dan KPS yang masing-masing memiliki kepentingan minoriti, seharusnya bertindak selaras dengan dasar kerajaan negeri yang membantah sebarang kenaikan harga yang akan membebankan rakyat.

“Berdasarkan laporan Litrak tahun 2015, lebuhraya LDP dan Sprint masing-masing telah menjana keuntungan sebanyak RM138juta dan jumlah kenderaan juga meningkat sebanyak 2 peratus berbanding 2014 iaitu kadar kenderaan yang melalui tol melebihi 500,000 kereta setiap hari,” katanya.

"Jadi seandainya kerajaan negeri mengambil dividen selaku pemegang saham 20 peratus yang dapat dari keuntungan Lebuhraya Litrak adalah RM27.6 juta dan jika kita mengambil perhitungan bahawa kadar pemakaian lebuhraya pada hari Ahad adalah setengah dari hari kerja, jadi perhitungan saya adalah berikut:

- 138 juta x 20 peratus = RM27.6 juta

- 250,000 kereta x 52 hari (setahun) = 13 juta kali pemakaian

- 13 juta pemakaian x RM2.10 = RM27.3 Juta

"Dengan perhitungan di atas, bererti pelaksanaan program Hari Tol Percuma Selangor adalah satu langkah yang boleh dilakukan dan setiap tahun akan adalah 13 juta pengguna tol akan menikmati program ini," tegas Ng.

Katanya, pemberian tol percuma bukan satu perkara baru buat kerajaan selangor selepas pemberian air percuma 20 meter padu pertama kepada pengguna air domestik yang menggunakan meter individu sejak 2008.

"(Ia) merupakan contoh negeri Selangor berkongsi keuntungan GLC kerajaan negeri selaku pemegang saham di syarikat konsensi air dan menjanakannya dalam program “hasil rakyat untuk rakyat”.

Sebagai kerajaan yang pro-rakyat, katanya, kerajaan Selangor harus mencari langkah lebih praktik dan kreatif untuk membantu rakyat dengan program yang mesra rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS