Sivarasa: Pengarah Sprint tak dirujuk kenaikan tol
Lembaga pengarah Sprint Sdn Bhd tidak dirujuk bahawa syarikat konsesi lebuh raya itu akan menaikkan kadar tol, kata Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah hari ini.
"Pengurusan Sprint telah melaksanakan kenaikan tol menurut satu surat daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia ( LLM) yang diterima seminggu lalu.
"(Surat itu berkata) antaranya, kerajaan Persekutuan tidak akan bayar lebih pampasan kepada syarikat, bahawa Sprint boleh naik kadar tol selaras dengan kadar yang tertera dalam surat tersebut, dan syarikat bertanggungjawab untuk mengumumkan kadar kenaikan tol," kata Sivarasa dalam satu kenyataan.
Dilantik dalam lembaga pengarah Sprint pada Januari sebagai wakil Kumpulan Perangsang Selangor (KPS), Sivarasa (foto) berkata pihak pengurusan tidak merujuk perkara itu kepada lembaga pengarah untuk dibincang.
Katanya, beliau tidak bersetuju dengan kenaikan tol itu, tetapi menegaskan bahawa KPS hanya pemegang saham minoriti 20 peratus berbanding 80 peratus oleh Kumpulan Gamuda.
Namun begitu, ahli Parlimen PKR itu berkata, beliau akan membawa perkara itu kepada pengurusan Sprint.
"Justeru, saya akan menulis kepada Pengerusi syarikat Sprint, Yusuff Daud untuk memanggil satu mesyuarat khas lembaga pengarah untuk membincang dan kaji semula perkara ini.
"Saya telah juga melaporkan perkara ini kepada Menteri Besar Azmin Ali dan akan melaksanakan apa-apa arahan lanjut daripada beliau," katanya.
Sivarasa menjelaskan demikian terhadap catatan di media sosial sama ada beliau, sebagai ahli lembaga pengarah Sprint, menyokong kenaikan tol itu.
Sprint Expressway menaikkan kadar tol sebanyak RM1, berkuatkuasa tengah malam tadi, dengan kadar baru tol di Plaza Damansara, Pantai dan Bukit Kiara kini masing-masing menjadi RM2, RM2.50 dan RM3.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.