Russia hari ini merakamkan rasa tidak puas hati dan kecewa dengan laporan akhir Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) yang dikeluarkan Selasa lalu mengenai nahas MH17 milik Penerbangan Malaysia (MAS).

Duta Besar Russia di Malaysia, Valery N Yermolov pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini berkata laporan itu berat sebelah kerana tiada pakar Russia diberikan akses kepada maklumat berkenaan.

Beliau juga menjelaskan peluru berpandu BUK yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat MH17, di timur Ukraine Julai tahun lalu, kini turut masih digunakan pihak ketenteraan Ukraine dan tentera dalam Kesatuan Soviet lain seperti Greece.

"Tentera Ukraine sendiri memiliki hampir 5,000 peluru berpandu jenis itu ketika ini," katanya.

Yermolov juga menjelaskan Russia tidak lagi menggunakan BUK jenis berkenaan yang sudah dilupuskan sejak tahun 2011.

Mengulas lanjut, Yetmolov menjelaskan Russia juga tidak pernah membekalkan BUK jenis itu kepada mana-mana kumpulan pemberontak yang kini menguasai beberapa kawasan bersempadan dengan Russia di timur Ukraine.

Dalam pada itu, beliau berkata negaranya kini akan meneruskan siasatan nahas pesawat itu biarpun laporan akhir sudah dibentangkan kepada umum.

Katanya, Russia juga meragui beberapa dapatan hasil siasatan yang dibentangkan DSB dan akan meneliti secara terperinci sebelum memberi sebarang ulasan lanjut.

[Baca berita penuh]