Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai memberi kenyataan berhubung permohonan dalam rayuan kes qazafnya.

Peguam Anwar, Kamar Ainiah Kamaruzzaman mengesahkan perkara itu ketika ditemui pemberita di pekarangan kompleks Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pagi ini.

Namun kata Kamar Ainiah, terdapat beberapa masalah teknikal dibangkitkan peguam mewakilil Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bagi mengetepikan prosiding kes berkenaan.

"Tadi untuk bacaan afidavit (Anwar) dan kami juga buat permohonan untuk ketepikan permohonan mereka yang mahu mengetepikan rayuan kami dalam kes ini.

"Jadi kami buat bantahan dan peguam menteri pula membangkitkan beberapa isu teknikal yang akan dikemukakan di mahkamah rayuan untuk diputuskan kerana keputusan kes ini tidak dapat ditetapkan ketua pendaftar sebaliknya akan dibawa ke mahkamah rayuan nanti," katanya.

Sebelum ini Anwar mengemukakan tuntutan qazaf terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari yang gagal mengemukakan empat orang saksi dalam sabitan pertuduhan kes liwat ke atas bekas ketua pembangkang itu.

Anwar kini dipenjara lima tahun sejak Februari lalu selepas mahkamah menyabitkan beliau atas kesalahan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Prosiding kes berkenaan akan disambung semula 26 Oktober ini di Mahkamah Rayuan Syariah, Kuala Lumpur.

Kenyataan afidavit Anwar dibaca di hadapan Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah, Khairol Nizam.

Sementara itu, Kamar Aniah berkata panel peguam berhadapan kesukaran membuat sebarang pertemuan dengan Anwar bagi tujuan pengenadalian kes itu.

"Sangat sukar, sebab penjara sangat ketat. Kita buat permohonan awal pun, saat akhir baru permohonan diluluskan. Ini yang menyukarkan kami,” katanya.