Perkhidmatan Rapid KL dilanjutkan sempena Citrawarna Sabtu ini
Perkhidmatan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Rapid KL di stesen Masjid Jamek akan dilanjutkan sehingga 12.30 malam pada Sabtu ini sempena perarakan Citrawarna di Dataran Merdeka.
Rapid KL dalam kenyataan hari ini berkata, para pengunjung yang ingin ke acara itu boleh menaiki perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya dan Ampang dari stesen Masjid Jamek sehingga 12.30 tengah malam.
"Walaupun pintu masuk di stesen-stesen lain akan ditutup secara berperingkat mulai 11.10 malam mengikut jadual operasi hari minggu dan kelepasan awam yang biasa, pengunjung yang menggunakan perkhidmatan LRT di stesen Masjid Jamek boleh keluar di mana-mana stesen sehingga selesai perkhidmatan lanjutan masa tersebut," katanya.
Menurut kenyataan itu, penumpang dinasihatkan supaya menggunakan Kad MyRapid yang boleh didapati di semua stesen LRT dan Monorel bagi perjalanan yang lebih lancar.
Untuk maklumat lanjut, boleh menghubungi Talian Bantuan di 03-78852585 pada Isnin hingga Jumaat dari 7 pagi hingga 8.30 malam manakala pada Sabtu hingga Ahad dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang atau log masuk untuk www.myrapid.com.my atau di Twitter MYRapidL.
-Bernama

