Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPPA dibentang di Parlimen pertengahan Januari
Diterbitkan:  Oct 15, 2015 3:18 PM
Dikemaskini: 7:21 AM

Dokumen Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) perlu dibentangkan di Dewan Rakyat pada pertengahan Januari depan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau menjelaskan Malaysia tidak boleh lewat daripada dua minggu pertama tahun 2016 untuk membuat keputusan sama ada menandatangani perjanjian tersebut atau tidak.

"Masalahnya ada pembentangan bajet negara, jadi kita tidak boleh ganggu proses itu.

"Sudah tentu saya akan berbincang dengan Speaker (Dewan Rakyat) bagi mendapatkan tarikh (untuk bentangkan TPPA)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah mengenai TPPA pada Program Outreach Perjanjian Perdagangan Bebas kementeriannya di Kota Kinabalu hari ini.

Rundingan TPPA dimuktamadkan pada 5 Oktober lalu di Atlanta, Amerika Syarikat (AS) dan teks dokumen dijangka disiapkan penghujung bulan ini.

Rundingan TPPA yang julung kali dilancar pada 2005 membabitkan 12 negara - Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS dan Vietnam.

Mustapa berkata TPPA merupakan perjanjian paling kontroversi yang memerlukan kerajaan memberi penerangan secara menyeluruh mengenai pro dan kontra.

Menurut beliau kebanyakan perbincangan mengenai TPPA pada masa sekarang lebih berdasarkan kepada spekulasi.

Katanya kerajaan perlu melakukan pusingan lain perbincangan dokumen itu walaupun sudah terdapat kepastian mengenainya sebaik dokumen dikeluarkan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS