Mesej Whatsapp yang mendakwa bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan memfailkan laporan polis berasingan esok berhubung skandal 1MDB sedang tersebar.
Bagaimanapun mesej berkenaan didapati adalah tidak benar.
"Whatsapp yang tersebar mengenai laporan polis oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah palsu,” kata posting yang dimuat-naikkan di laman Facebook bekas timbalan perdana menteri itu.
Pembantu Mahathir dan Shafie juga masing-masing menafikan bos mereka akan memfailkan laporan polis.
Menurut mesej Whatsapp itu, Mahathir dijadualkan akan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis di Putrajaya, Muhyiddin di Dang Wangi manakala Shafie pula di Brickfields.
Mesej itu juga mendakwa ketiga-tiga pemimpin berkenaan akan ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya selepas solat Jumaat.
Pada Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggugurkan Muhyidin dan Shafie daripada kabinet kerana kelantangan mereka membidas cara beliau menangani isu 1MDB.
Admin: Whatsapp yang tersebar mengenai laporan polis oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah PALSU
Posted by Muhyiddin Yassin on Wednesday, 14 October 2015
Minggu lalu, Mahathir juga menafikan beliau akan membuat laporan polis ke atas Najib apabila diajukan soalan berkenaan.
Katanya, beliau tidak mempunyai bukti yang mencukupi tetapi sekadar mengetahui wang 1MDB telah hilang dan tidak tahu di mana ia berada sekarang.
