Portal pro-Najib: Terima kasih Saifuddin kerana 'selamatkan Umno'

   

Dalam nada sindirian, blog pro-Umno MyKMU.net mengucapkan terima kasih kepada bekas ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah kerana keluar parti itu untuk menyertai PKR.

Portal tersebut yang merupakan penyokong kuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak menyifatkan ada hikmahnya di sebalik tindakan bekas ahli Parlimen Temerloh itu menyertai parti pembangkang.

Malah, portal tersebut menyifatkan tindakan Saifuddin itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

"Kecenderungan ideologi beliau kepada Islam dan Melayu liberal sangat cocok kepada kepimpinan (ketua umum PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Akar umbi Umno mengharapkan beliau keluar dari parti kerana sering membawa pandangan liberal. PKR pula sangat memerlukan Saifuddin seorang orator dan pemikir yang gah," tambahnya.

Portal ini juga menyifatkan yang Saifuddin kritikal terhadap pelbagai isu seperti 1MDB, sebagai duri dalam daging Umno.

"Umno sentiasa membawa jalan sederhana dalam isu agama dan kaum, tidak lagi sesuai dengan pemikiran liberal Saifuddin.

"Terima kasih Saifuddin Abdullah kerana menyelamatkan Umno!" kata MyKMU.

Saifuddin hari ini mengisytiharkan keluar Umno untuk menyertai PKR.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di ibu pejabat parti itu, di Petaling Jaya.

Saifuddin yang hadir pada sidang media itu merakamkan penghargaannya kepada rakan-rakan PKR kerana mernerimnya sebagai anggota parti.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In