Kemalangan Myvi: Saksi tak tahu b'mana rakaman CCTV tersebar
Seorang saksi memberitahu Mahkamah Trafik di sini bahawa dia tidak mengetahui bagaimana video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekumpulan kenderaan jenis Myvi tersebar di laman sosial, selepas kemalangan di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE), yang meragut nyawa tiga beranak.
Pengurus Kanan Operasi Tol dan Perhubungan Awam, Syarikat Konsortium Lebuhraya Utara Timur Kuala Lumpur Sdn Bhd, Mohd Hasrul Nizam Hanipah berkata beliau hanya mengetahui rakaman itu menjadi viral apabila dimaklumkan oleh seorang daripada pekerjanya.
"Saya telah dimaklumkan oleh subordinat saya, setelah ia (rakaman) menjadi viral," katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam S.N. Seelan.
Beliau berkata demikian pada perbicaraan dua pemandu Myvi, Siti Noor Aini Mohd Said, 36, dan Mohammad Fizal Reza Jamauddin, 31, yang didakwa memandu secara berbahaya kepada orang awam dan menyebabkan kematian Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya Nova Safitri Azhari, 27, serta bayi mereka, Nur Firuza Annisa, enam bulan.
Siti Noor Aini dan Mohammad Fizal Reza didakwa melakukan kesalahan itu di Km6 Lebuhraya DUKE dari arah Ulu Klang menghala Jalan Duta antara 12.31 tengah malam dan 12.35 tengah malam pada 2 Mei lepas.
Ketika ditanya Seelan adakah kemungkinan punca rakaman itu tersebar kerana pengawasan tidak teratur oleh pihak syarikat, Mohd Hasrul Nizam berkata: "Betul".
Terdahulu beliau memberitahu mahkamah bahawa rakaman CCTV kenderaan yang melalui plaza tol itu diselia, dikawal dan diawasi dengan ketat oleh pihak pengurusan tol kerana ia merupakan rakaman sulit.
"Ia (rakaman CCTV) dibekalkan atas permintaan rasmi daripada pihak polis. Dalam sebarang kes yang berlaku, pihak Lebuhraya DUKE hanya akan serahkan rakaman kepada pihak polis sahaja," katanya.
Kepada soalan lain, mengenai adakah kenderaan yang melalui plaza tol itu dapat dilihat dengan jelas termasuk nombor pendaftaran kenderaan yang melalui CCTV yang dipasang di setiap lorong tol, beliau berkata tidak.
"Amat sukar (untuk dilihat) di lorong Smartag, tapi kalau lorong Touch and Go dan tunai, berkemungkinan kita boleh mengenal pasti," katanya.
Jelasnya hanya reka bentuk kenderaan, pergerakan dan warna kenderaan sahaja yang dapat dilihat dengan jelas melalui CCTV.
Mohd Hasrul Nizam turut bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa kelajuan kenderaan tidak dapat ditentukan melalui pandangan mata kasar individu.
"Ya, kelajuan (kenderaan) kita tidak tahu, tapi dapat lihat jika ia bergerak pantas, agak laju," katanya sambil menambah bahawa kelajuan boleh ditentukan oleh kamera pengawasan kelajuan.
Bagaimanapun ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim, Mohd Hasrul Nizam yang diminta meneliti rakaman CCTV sekumpulan Myvi dan Mitsubishi jenis Pajero yang melalui Plaza Tol Air Panas di dalam mahkamah berkata dari pandangan mata kasarnya, sekumpulan Myvi itu kelihatan bergerak lebih laju dari Pajero.
Pada perbicaraan hari ini Mohammad Fizal Reza diwakili peguam Seelan manakala Siti Noor Aini diwakili peguam Omar Bakhi Ahmad.
Peguam pemerhati C. Leo Camoens turut hadir mewakili keluarga mangsa.
Perbicaraan di hadapan Majistret Zilfinaz Abbas bersambung esok.
-Bernama

