Kes NFC saman Rafizi, Malaysiakini 8 Dis
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 8 Disember hingga 11 untuk perbicaraan kes saman Pengerusi National Feedlot Corporation Sdn Bhd Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail terhadap Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan KiniTV.
Tarikh itu ditetapkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan dalam kamar di hadapan peguam yang mewakili pelbagai pihak.
Lawyer Razlan Hadri Zulkifli yang mewakili Rafizi memberitahu demikian kepada Malaysiakini ketika dihubungi.
Pada mulanya, kes itu ditetapkan untuk perbicaraan pada 26-30 Oktober tetapi peguam Mohamad Salleh, Tan Sri Salleh Muhammad Shafee Abdullah tidak ada pada tarikh tersebut kerana beliau mewakili kerajaan di pelbagai mesyuarat berkaitan Asean.
Shafee adalah pengerusi Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean mengenai Hak Asasi Manusia.
Sementara itu, Bernama melaporkan, dalam pernyataan tuntutannya, Mohamad Salleh mendakwa pada 7 Mac 2012, Mohd Rafizi mengeluarkan kenyataan fitnah pada sidang akhbar di ibu pejabat PKR berhubung pembelian hartanah KL Eco City dan berita itu disiarkan dalam Malaysiakini pada hari sama.
Mohamad Salleh mendakwa saman itu dibuat berikutan kerugian yang ditanggung beliau berikutan pembohongan, maklumat yang mengelirukan, pendedahan maklumat sulit perbankan dan fitnah oleh defendan.
Sehubungan itu, Mohamad Salleh memohon ganti rugi am, teladan dan ganti rugi teruk, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Beliau juga memohon injunksi bagi menghalang defendan daripada terus mengelirukan dan menipu orang ramai berhubung isu pinjaman itu.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.