Selepas 42 hari Naib Presiden Parti Keadilan Nasional Tian Chua ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), akhirnya polis membenarkan keluarga melawatnya esok.

Adik aktivis reformasi itu Chua Tian Chien memberitahu malaysiakini , beliau dihubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur kira-kira jam 4 petang tadi memaklumkan kebenaran itu.

"Polis hanya membenarkan ayah saya dan saya melawat abang saya, orang lain tidak dibenarkan sama sekali," kata Chua. (Emak Tian meninggal dunia tahun lalu).

Mereka dijadualkan mengadakan pertemuan itu jam 2.30 petang di IPK Kuala Lumpur.

Chua juga berkata sejam sebelum itu, beliau menghubungi Ibu Pejabat Polis Persekutuan di Bukit Aman tetapi polis belum memberikan kata putus berhubung perkara itu.

"Saya tanya bagaimana dengan keadaan abang saya, pegawai polis yang bernama Joon menjawab, 'dia tak ada apa-apa.' Saya tanya lagi, apakah beliau melihat sendiri keadaan abang saya, beliau berkata, 'tak ada, (saya) dimaklumkan tiada apa-apa berlaku pada dia (Tian)," beritahu Chua, perbualannya dengan seorang pegawai polis.

Beliau berkata, tunang pemimpin Keadilan itu Mabel Au masih berada di luar negara dan tidak sempat pulang untuk berjumpa dengan Tian.

Sebelum ini lima daripada 10 tahanan ISA dibenarkan lawatan keluarga antara 3 hingga 8 Mei lalu. Mereka adalah pengendali laman web 'Kempen Bebaskan Anwar' (FAC) Raja Petra Raja Kamaruddin dan pemimpin-pemimpin Keadilan Dr Badrul Amin Baharom, Mohamad Ezam Mohd Nor, Saari Sungib dan Lokman Noor Adam.

Sementara pemimpin-pemimpin Pemuda Keadilan N Gobalakrishnan dan Abdul Ghani Haroon, penulis kolum malaysiakini Hishamuddin Rais, aktivis hak asasi manusia Badaruddin Ismail masih menunggu jawapan daripada polis.

Semua mereka ditahan selama lebih 40 hari kecuali Badaruddin yang ditahan 30 hari pada Khamis ini.