Gerakan pula gesa Umno, MCA jadi parti semua bangsa
Selepas pemuda MCA, Gerakan pula mendesak BN, terutamanya parti terbesar Umno dan MCA, untuk mempertimbang membuka keanggotaannya kepada semua bangsa.
Bercakap di kongres tahunannya, Timbalan Presiden Gerakan Cheah Soon Hai mengingatkan bahawa pengasas Umno Datuk Onn Jaafar pernah mengetengahkan idea itu.
Cheah berkata, memandangkan penumpuan terhadap sesuatu kaum dan agama memburukkan hubungan kaum, cadangan Onn pada awal 50-an masih relevan sehingga ke hari ini.
Onn pengasas dan presiden pertama Umno. Beliau meninggalkan Umno dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) selepas ideanya membuka keanggotaan kepada bukan Melayu ditolak.
IMP bagaimanapun gagal mendapat sokongan cukup dalam pilihan raya, menyebabkan beliau kemudian menubuhkan sebuah lagi parti baru Parti Negara.
Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon pada 10 Oktober lepas menggesa parti kompenan BN membuka keahlian mereka kepada semua tanpa mengira kaum.
Beliau mendakwa mekanisme BN menyelesaikan isu-isu perkauman sudah tidak lagi berfungsi dan parti pemerintah akan bertukar menjadi "kilang konflik perkauman".
Mengulas himpunan Baju Merah 16 September, beliau berkata, beberapa pemimpin BN mengorbankan kepentingan negara dan mencetuskan sentimen perkauman untuk meraih undi.
Himpunan itu dikritik kerana kenyataan berbaur perkauman dilontarkan pesertanya. Antara yang paling menonjol melibatkan seorang wanita yang memaki “Cina babi”.

