Tanah rancangan baru Felda ala syarikat perladangan terbengkalai
Projek percubaan Felda untuk menggantikan peneroka dengan menggaji pekerja untuk mengusahakan beberapa kawasan tanah rancangan barunya, sepertimana yang diamalkan syarikat perladangan lain, menemui kegagalan kerana tidak mendapat sambutan.
Projek percubaan Felda untuk menggantikan peneroka dengan menggaji pekerja untuk mengusahakan beberapa kawasan tanah rancangan barunya, sepertimana yang diamalkan syarikat perladangan lain, menemui kegagalan kerana tidak mendapat sambutan.
Malaysiakini diberitahu, melalui projek percubaan itu, Felda, melalui anak syarikatnya Felda Plantations Sdn Bhd memajukan kawasan ladang dengan tanaman kelapa sawit dan getah dengan memberi gaji bulanan kepada pekerjanya.
Manakala usaha Felda untuk memperluaskan skim tersebut meliputi tanah rancangan sedia ada di beberapa kawasan juga gagal kerana mendapat bantahan keras peneroka
Ini berbeza dengan amalan sekarang di mana peneroka tanah rancangan Felda akan mendapat hak milik di atas kawasan yang mereka usahakan dengan tanaman getah atau kelapa sawit seluas 10 ekar dan tapak rumah, selepas tempoh 15 hingga 20 tahun.
Sebaliknya, pekerja ladang Felda itu akan dibayar gaji bulanan serta mendapat faedah-faedah sepertimana pekerja syarikat perladangan lain, dan mereka akan bersara apabila mencapai umur 55 tahun.
Felda Plantation telah melaksanakan projek ini di beberapa kawasan seperti di Bentong dan Bera, kedua-duanya di negeri Pahang serta di Bahau Negeri Sembilan.
Terbengkalai
Melalui skim ini, Felda Plantation mengupah pekerja ladang untuk makan gaji dengannya
bagi bekerja di ladang kelapa sawit milik agensi tersebut.
Antara projek perintis di bawah skim perladangan yang dilaksanakan Felda Plantation ialah di Ladang Gemachu, Bera Pahang yang diperkenalkan 10 tahun lalu.
Bagaimanapun, projek perintis menemui kegagalan kerana pekerjanya meninggalkan ladang untuk mencari kerja lain bagi membina penghidupan baru.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP bagi kawasan Triang, Leong Ngah Ngah mendakwa konsep perladangan baru itu kurang menarik minat kerana mereka tidak mendapat tanah seperti skim peneroka.
"Bagi yang baru bekerja, mereka mungkin belum memikirkan tentang pemilikan tanah sendiri tetapi setelah 20 tahun kemudian, mereka pasti mahukan tanah seperti yang diperolehi oleh peneroka Felda yang lain.
"Tetapi skim ladang ini tidak sama dengan skim peneroka. Dalam skim ladang ini, pekerja mendapat gaji bulanan, selain beberapa kemudahan lain seperti bonus tahunan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Akibatnya, kata beliau, para pekerja mengambil keputusan untuk berhenti bekerja setelah merasakan mereka tertipu oleh Felda Plantation.
Berikutan itu, tambahnya, projek perintis tersebut kini terbengkalai kerana hanya segelintir pekerja sahaja yang masih tinggal di situ.
Bantahan
Felda Plantation juga dikatakan pernah cuba melebarkan projek ladangnya itu ke beberapa skim tanah rancangan lain, tetapi telah dibantah keras oleh peneroka kerana merasakan skim tersebut merugikan mereka.
Satu kawasan lagi yang Felda mahu memperkenalkan skim perladangan itu ialah di Gugusan Felda Mempaga di Bentong, Pahang.
Bagaimanapun, ia dibantah oleh para peneroka yang sudah lama meneroka tanah itu, dengan alasan ia bertentangan dengan konsep asal Felda iaitu untuk memberikan tanah kepada penduduk miskin di atas kawasan berkelompok.
Felda pula difahamkan mahu memperkenalkan konsep baru itu bahawa pendapatan peneroka yang tidak menentu, terutama pada musim pokok tidak berbuah.
Berikutan itu ada sebahagian peneroka yang terpaksa mencari kerja lain di bandar, termasuk menjadi buruh binaan untuk mencari pendapatan tambahan sementara menantikan pokok berbuah.
Bagaimanapun, tidak kurang juga yang meninggalkan tanah rancangan dan pulang ke kampung halaman masing-masing.

