Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jerebu: Sekolah di beberapa negeri diarah tutup esok
Diterbitkan:  Oct 18, 2015 8:18 PM
Dikemaskini: 12:59 PM

Sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya, Selangor, Kuala Lumpur, Tawau, Kuching dan Samarahan diarah tutup esok susulan kualiti udara semakin merosot.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam catatan terkini di Facebook berkata kementeriannya memutuskan demikian setelah Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan berkenaan semakin meningkat.

Katanya bagaimana pun peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Kolej Vokasional akan diteruskan di bawah 'Ops Topeng'.

Sehingga 6 petang tadi, dua lagi kawasan iaitu Tanjung Malim dan Cheras mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, menjadikan jumlah keseluruhan 16 kawasan berada dalam keadaan tidak sihat.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU bagi Tanjung Malim, Perak ialah 102 manakala Cheras, Kuala Lumpur (105).

Sebanyak 14 kawasan masih berada pada paras tidak sihat sejak 2 petang iaitu Bandaraya Melaka (122) dan Bukit Rambai (116), Melaka; Nilai (120), Port Dickson (111) dan Seremban (121), Negeri Sembilan; Tawau (135), Sabah; Kuching (101) dan

Samarahan (110), Sarawak; Banting (124), Pelabuhan Klang (116), Petaling Jaya (110) dan Shah Alam (111), Selangor; Batu Muda (121), Kuala Lumpur; serta Putrajaya (116).

Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS