Pemuda Gerakan sekali lagi menggesa supaya Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dikaji semula bagi membolehkan pelajar menyuarakan pandangan politik mereka.

Pergerakan itu berkata walaupun pelajar universiti tidak sepatutnya aktif dalam politik tetapi mereka juga perlu diberikan hak untuk menyuarakan pandangan mereka berhubung isu-isu sosial dan politik.

"Auku tidak sepatutnya menjadi faktor yang menghalang para pelajar daripada menyuarakan pandangan mereka berhubung pelbagai isu," kata Setiausaha Agung pergerakan itu, Hoo Saw Ho ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, ramai pelajar kini hanya menumpukkan perhatian kepada pengajian mereka dan memperlihatkan sedikit atau tidak langsung berminat terhadap hal-ehwal semasa.

Hoo menegaskan demikian ketika diminta mengulas kes seorang pelajar tahun akhir Universiti Sains Malaysia (USM), Soh Sook Hwa, yang didakwa melanggarkan Auku kerana berkempen untuk calon pembangkang dalam pilihanraya umum yang lalu.

Usul diluluskan

Menurutnya lagi, persidangan Pemuda Gerakan pada tahun 1999 dan 2000 telah meluluskan usul menggesa supaya Auku dikaji semula.

Pergerakan itu juga turut mengemukakan pandangan dan perakuan mereka mengenai Auku kepada Kementerian Pelajaran tetapi sehingga kini belum menerima jawapan yang positif.

"Kami berharap para pelajar diberi lebih ruang melalui kajian semula akta tersebut," tambahnya.

Beliau juga menyentuh satu lagi suasana yang membimbangkan di universiti di mana terdapat terlalu banyak sekatan dikenakan terhadap badan-badan pelajar.

"Kami merasakan badan-badan pelajar ini tidak sepatutnya berdepan dengan terlalu banyak sekatan daripada jabatan halehwal pelajar apabila mereka merancang akvititi di kampus," kaktanya tanpa menyebut contoh-contoh khusus.

Salah satu peraturan paling kontroversi dalam Auku ialah Seksyen 15 yang menyekat pelajar daripada terbabit dengan mana-mana parti politik dalam apa bentuk sekalipun.

Ia juga menghalang pelajar daripada mengadakan perhimpunan yang melebihi lima orang, terbabit dalam aktiviti politik di luar kampus, bekerja sambilan atau mengeluarkan kenyataan media tanpa kebenaran naib canselor.

Bantahan di luar USM

Dalam perkembangan berkaitan, Pergerakan Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) telah mengadakan bantahan di luar kampus utama USM di Pulau Pinang semalam, kerana membantah tindakan pihak universiti itu terhadap Soh.

Delegasi enam orang, yang diketuai oleh setiausaha Dapsy Loke Siew Fook telah memegang sepanduk yang bermaksud 'hapuskan Auku, kembalikan hak pelajar' di pintu masuk universiti tersebut.

Menurut Loke, beberapa anggota polis berpakaian biasa dan pengawal keselamatan universiti tersebut berada di situ, tetapi tiada kejadian tidak diingini berlaku.

"Kami sekali lagi menggesa USM supaya menggugurkan dakwaan terhadap Soh dan bantahan ini menandakan sokongan kami kepadanya," katanya kepada malaysiakini .

Menurutnya, pelajar USM itu hanya menggunakan haknya sebagai seorang warganegara untuk menyatakan sokongannya kepada calon pilihannya sewaktu pilihanraya umum.

Soh telah didakwa berkempen untuk Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua dalam pilihanraya umum Mac lalu bagi kerusi Parlimen Batu. Soh adalah pengundi berdaftar di kawasan tersebut.

Dwi-standard

Loke juga menyangkal kenyataan Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaludin mengenai kes Soh sepertimana yang dilaporkan dalam media sebelum ini. Khairy dilaporkan berkata pelajar sepatutnya tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam politik.

"Saya ingin mengingatkan Khairy bahawa terdapat banyak Kelab Umno di pelbagai universiti di luar negara. Mengapa beliau mengamalkan dwi-standard? Mengapa disekat hak asasi pelajar di sini untuk membuat pilihan?" tegas Loke.

Sementara itu, permintaan Soh supaya peguamnya dibenarkan menghadiri siasatan disiplin terhadapnya, telah ditolak oleh pihak univerisiti.

Dalam surat balasannya kepada firma guaman Ngeow, Tan & Co semalam, pihak universiti itu menolak permintaan itu dengan alasannya ianya merupakan satu siasatan dalaman.

Para pelajar dan pertubuhan-pertubuhan belia dijangka mengadakan perhimpunan di USM untuk memberi sokongan padu kepada Soh. Siasatan terhadap Soh dijadual pada jam 2.30 petang ini.