Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang Rabu menafikan laporan sebuah akhbar harian bahawa Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menyerahkan surat perletakan jawatan bagi semua jawatannya dalam parti.

Bernama memetik Abdul Hadi sebagai berkata, berita tersebut adalah satu cerita bohong yang sengaja disiarkan.

"Saya baru jumpa Tuan Guru (Nik Aziz) sebelum dia pergi umrah," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu hari ini.

Akhbar itu turut melaporkan Nik Aziz, yang merupakan Mursyidul Am PAS dan Pesuruhjaya PAS Kelantan, sememangnya berhasrat untuk meletak jawatan disebabkan faktor kesihatan, selepas diserang sakit jantung baru-baru ini.

Hadi mendakwa berita itu dibuat "hasil arahan kepada media".

Bagaimanapun, laporan Bernama tersebut tidak menyebut akhbar yang dimaksudkan oleh pemimpin pembangkang tersebut.

Selain Utusan Malaysia yang menyiarkannya sebagai berita utama di muka depannya, akhbar The Star dan malaysiakini turut melaporkan mengenainya semalam.

Penafian

Laporan malaysiakini memetik sumber-sumber sebagai berkata parti tersebut akan membuat pengumuman mengenai perletakan jawatan apabila Nik Aziz pulang dua minggu lagi selepas mengerjakan Umran di Mekah.

Sementara itu, satu lagi laporan Bernama dari Kelantan memetik Ketua Pemuda PAS Kelantan, Zulkafli Yaacob sebagai berkata Nik Aziz, melalui setiausaha politiknya Anual Bakhri Harun, menafikan laporan tersebut.

Katanya, ketika beliau menghubungi Nik Aziz di Mekah untuk bertanyakan kesahihan laporan sebuah akhbar berbahasa Melayu hari ini, beliau diberitahu oleh Anual Bakhri bahawa Nik Aziz menafikan sekeras-kerasnya akan meletak jawatan sebagai Menteri Besar dan melepaskan semua jawatan dalam PAS sepertimana yang dilaporkan itu.

Nik Aziz bersama keluarga dan beberapa pembantunya sedang menunaikan ibadat umrah dan dijadual kembali ke tanah air pada 30 November ini.

"Kami berpegang dengan kenyataannya sebelum ini bahawa beliau akan pegang jawatan sampai mati, dan kami akan beri sokongan padu kepada beliau. Tidak ada riak langsung tok guru (Nik Aziz) nak letak jawatan dalam masa terdekat," kata Zulkafli.

Menurutnya, laporan akhbar itu telah menimbulkan keresahan di kalangan rakyat Kelantan terutama ahli PAS.