Polis Diraja Malaysia (PDRM) percaya tiada keperluan untuk pasukan itu mendapatkan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad tergesa-gesa.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, PDRM akan mengatur pertemuan dengan bekas perdana menteri itu selepas ini.

"Tidak, polis tidak akan tergesa-gesa (mengambil keterangan Dr Mahathir)," katanya.

Khalid ditemui di sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Polis sepatutnya merakam keterangan Dr Mahathir ekoran kehadiran beliau dalam himpunan BERSIH 4 pada akhir Ogos lalu.

Bulan lalu Khalid memberitahu Dr Mahathir disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Acara Jenayah.

Katanya, polis mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai kenyataan Dr Mahathir - antara lain mendakwa pemimpin Umno mengambil rasuah.

Bulan lalu juga Khalid mendakwa keterangan Dr Mahathir akan diambil "tidak lama lagi".