Pengawal keselamatan yang koma berikutan percubaannya membunuh diri selepas membunuh tiga anaknya, sudah sedar semula dan akan disoalsiasat pihak polis hari ini.

Ketua Bahagian Jenayah Johor Baharu Utara, DSP Zamri Awang berkata lelaki berusia 46 tahun ini yang kini dirawat di Unit Rawatan Intensif di Hospital Sultan Aminah, Johor Bharu, sudah sedar semula pada jam 8 pagi semalam.

"Saya dan seorang pegawai penyiasat berjumpa lelaki itu pada jam 11 pagi dan mendapati dia sudah sedar dan boleh bercakap. Dia akan disoalsiasat hari ini berhubung kes tersebut," katanya dalam laporan Bernama .

Sabtu lalu, lelaki tersebut dan anak perempuannya yang berusia 14 tahun dari perkahwinan sebelumnya, telah diselamatkan oleh jiran mereka selepas kedua-dua menggantung diri masing-masing.

Polis juga menemui mayat ketiga-tiga kanak-kanak yang berumur enam, lima dan tiga tahun, mati dicekik dalam rumah mereka di Kulai.

Buat laporan

Pada mulanya, polis percaya lelaki tersebut telah membunuh anak-anaknya dan cuba membunuh diri kerana isterinya lari dari rumah mengikut lelaki lain.

Bagaimanapun, isterinya mendakwa dia terpaksa lari dari rumah kerana tidak tahan didera oleh suaminya itu.

Anggota keluarga si isteri juga mendakwa polis tidak berbuat apa-apa walaupun kira-kira 20 laporan polis telah dibuat terhadap lelaki yang disyaki itu.

Manakala polis pula berkata pada 13 November, lelaki yang disyaki itu telah membuat satu aduan polis mendakwa bahawa isterinya telah mendera anak-anak mereka dengan menyelar mereka dengan sudu panas.

Mengulas perkara tersebut, Zamri berkata, pihak polis akan menyoalsiasat wanita tersebut pada masa yang sesuai.

"Kami ada nombor telefonnya dan akan menghubunginya untuk disoalsiasat berhubung kes tersebut. Jika dia enggan bekerjasama, waran tangkapan akan terkeluarkan terhadapnya," tambahnya.

Sementara itu, peguam yang mewakili wanita tersebut, S Gunapati, berkata pelanggannya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dalam penyiasatan kes tersebut.

"Bagaimanapun (pelanggan saya) berada di balai polis Kulai malam tadi (Selasa). Saya tidak faham mengapa (ketika itu) mereka tidak mengambil kenyataannya," katanya kepada Bernama .

Dalam perkembangan berkaitan, tahanan reman terhadap anak perempuan pasangan tersebut telah dilanjutkan sehingga Sabtu ini.