Beberapa pertubuhan bukan kerajaan menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa mengenai syarikat yang terlibat dalam pembakaran terbuka hutan di negara jiran, khusunya perbadanan yang membabitkan Malaysia.

Gesaan tersebut dibuat ekoran berlakunya masalah jerebu kronik sejak September lalu hingga menimbulkan keresahan rakyat serta penutupan sekolah dan pembatalan program kemasyarakatan.

Malah mereka menuntut jika syarikat yang terbabit dalam pembakaran terbuka itu dari Malaysia, firma itu perlu perlu dikeluarkan daripada senarai perbadanan patuh syariah negara ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Tarikat Muktabar Malaysia (PERTAMA) Sheikh Abd Kareem Said Khadaied berkata, pembakaran hutan bercanggah dengan ajaran Islam.

Justeru, katanya pelaburan dalam syarikat yang terbabit tidak boleh lagi dianggap mematuhi syariah.

"Jadi perlu Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan garis panduan jelas apakah hukum membakar hutan bagi mencari keuntungan," katanya di sidang media di Kuala Lumpur sebentar tadi.

Minta pulau produk

Selain itu, Sheikh Abd Kareem berkata pihaknya juga menuntut semua pengguna memboikot produk syarikat yang terlibat dalam pembakaran terbuka hutan.

"Mungkin pemulauan perlu sebagai pengajaran kepada mereka," katanya.

Sementara itu, ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata tindakan undang-undang perlu diambil bagi memberi pengajaran kepada syarikat yang terlibat.

Untuk itu, Nadzim menyeru semua pihak memberi maklumat berhubung aktiviti pembakaran terbuka kepada pihak berkenaan bagu memudahkan syarikat terbabit didakwa.

"Seketariat PPIM sedang mengumpulkan maklumat tetapi kami memerlukan lebih ramai penglibatan khususnya peguam syariah dan sivil untuk menggerakkan tindakan terhadap syarikat dari Malaysia ini," katanya.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini dilaporkan berkata undang-undang berkaitan jerebu rentas sempadan sedang dirangka bagi membolehkan kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja terlibat termasuk syarikat dari negara luar.

Wan Junaidi berkata, undang-undang yang dicadangkan itu berbeza dengan undang-undang Singapura yang membenarkan tindakan diambil terhadap syarikat milik negara itu sahaja.

Kata Wan Junaidi, ketika ini Malaysia tidak boleh mengikut langkah Singapura untuk mengambil tindakan undang-undang kerana penggubalan perundangan jerebu itu masih di peringkat kementerian.

Hadir sama dalam sidang media pagi tadi adalah Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) dan Yayasan Patriot Negara.