Sempena sambutan Hari Antarabangsa Menghapuskan Keganasan Terhadap Wanita, Amnesty International menggesa pemimpin Asean yang bermesyuarat di Vientiane pada 29-30 November ini supaya meningkatkan lagi usaha melindungi wanita dan gadis di kawasan yang dilanda perang.

Dalam satu kenyataannya hari ini, Penyelaras Kempennya di Malaysia, Josef Roy menggesa mereka supaya mengutuk secara terbuka tindakan keganasan terhadap wanita, termasuk menjadi mangsa rogol dan jenayah seksual yang lain.

"Pasukan peringkat tertinggi patut ditubuhkan untuk menyiasat secara terperinci tindakan keganasan terhadap wanita di Aceh dan Myanmar (Burma) dan mengumumkan keadaan yang berlaku (di sana)," katanya.

Beliau juga menggesa pasukan itu supaya memperakukan langkah-langkah bagi memastikan mereka yang melakukan jenayah itu, dipertanggungjawabkan di atas perbuatan mereka serta langkah khusus untuk melindungi wanita dan gadis di kawasan yang dilanda peperangan.

"Di Aceh, wanita telah menjadi mangsa pelanggaran hak asasi manusia termasuk dibunuh, ditahan tanpa sebab atau didera sewaktu perintah darurat tentera. Antara tahun 1989 dan 1998, 3,000 orang wanita telah menjadi janda akibat konflik tersebut," katanya.

Amnesty International berpendapat jumlah keganasan itu semakin bertambah memandangkan Indonesia telah menggerakkan semula operasi tenteranya di Aceh sejak bulan Mei 2003.

Keganasan meningkat

"Di Burma, kumpulan hak asasi manusia telah mendokumenkan banyak kes-kes merogol wanita oleh Majlis Pembangunan dan Keamanan Negara (SPDC)," katanya merujuk kepada pentadbiran tentera di negara itu.

Laporan daripada Rangkaian Tindakan Wanita Sham (Swan) - sebuah pertubuhan etnik di Burma - mendakwa 61 peratus daripadanya adalah rogol bergilir-gilir dengan 83 peratus daripadanya dilakukan oleh pegawai tinggi tentera.

Menurutnya, kekurangan pendakwaan yang dilakukan terhadap penjenayah rogol bermakna pihak tentera di sana bebas melakukannya tanpa sebarang hukuman.

Berikutan itu, katanya, tiada tolak ansur terhadap keganasan ke atas wanita dan ia menjadi tanggungjawab semua pihak untuk berusaha menghentikan perbuatan jenayah tersebut.

Dalam satu kenyataan berasingan, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) menggesa semua pihak supaya menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa bagi mengelak keganasan terhadap wanita ketika waktu perang.

"Hari ini merupakan peluang untuk meningkatkan kesedaran global untuk menentang keganasan terhadap wanita. ICRC memandang berat jenayah seksual yang berlaku ketika waktu perang yang tidak terhad kepada kes rogol sahaja," katanya.

Hormati undang-undang

Menurutnya lagi, penderitaan yang dihadapi oleh wanita sewaktu peperangan dapat dikurangkan sekiranya undang-undang kemanusiaan antarabangsa dihormati, sambil merujuk kepada Konvensyen Geneva 1949 dan Protokol Tambahan 1977 serta Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Sementara itu, badan-badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia yang terdiri daripada Pertubuhan Bantuan Wanita(WAO), Majlis Aid Malaysian (MAC) dan Sisters in Islam (SIS) hari ini melancarkan kempen 16 hari terhadap keganasan gender.

Kempen itu bertujuan mendidik orang ramai mengenainya akan diadakan sehingga Hari Sambutan Hak Asassi Manusia pada 10 Disember depan.

Para sukarelawan dari pertubuhan tersebut akan berada di stesen Putra LRT di KLCC hari ini dan esok untuk mengedarkan risalah mengenai isu tersebut.

"WAO turut sama dalam kempen global ini sejak enam tahun lalu dengan mendapata sokongan kuat daripada pihak media dan sektor swasta. Kami gembira kerana lebih banyak NGO yang turut serta tahun ini," katanya.