Krew NTV7 disiasat polis dan tentera Thai
Tiga kakitangan stesen NTV7 yang sedang menjalankan rakaman untuk siaran berita Edisi Siasat di selatan Thai, ditahan dan disiasat lebih lima jam oleh pihak berkuasa negara itu Sabtu lalu.
Tiga kakitangan stesen NTV7 yang sedang menjalankan rakaman untuk siaran berita Edisi Siasat di selatan Thai, ditahan dan disiasat lebih lima jam oleh pihak berkuasa negara itu Sabtu lalu.
Penerbit kanan Zainal Rashid Ahmad, 40, penerbit Fadzli Ramli, 32, dan wartawan Firdaus Mohammad Zainal, 30, ditahan polis dan tentera di balai polis Nyior Lima, Pattani, pada jam 10 pagi waktu Thai (11 pagi waktu Malaysia).
Menurut Bernama , krew tersebut masuk ke selatan Thai pada petang Khamis menerusi Betong bagi mendapatkan gambaran sebenar keadaan di sana selepas berlaku beberapa insiden pertumpahan darah. Mereka keluar dari negara itu pagi ini.
Zainal Rashid ketika ditemui di sini , mendakwa kereta sewa yang mereka naiki ditahan di satu sekatan jalanraya ketika dalam perjalanan memasuki wilayah Pattani selepas membuat rakaman di Yala.
Katanya polis telah menggeledah kereta itu dan selepas menemui dua kamera TV, mereka diarah turun untuk pemeriksaan dan seterusnya mereka diserahkan kepada pihak tentera yang berada tidak jauh dari situ.
Semasa pemeriksaan dan soal siasat lebih lima jam, anggota tentera merampas satu pita mengandungi rakaman temubual dengan penduduk Yala serta beberapa peralatan.
"Pihak tentera melihat kembali semua 10 pita yang sudah dirakam kerana bimbang mengandungi sesuatu yang mungkin mencemarkan imej kerajaan mereka," kata Zainal Rashid.
Kecewa
Katanya pita yang dirampas itu mengandungi temubual dengan beberapa penduduk Islam Yala, yang rata-rata melahirkan rasa kecewa kerana kerajaan Thai gagal memulihkan keamanan di selatan Thailand.
Mereka bertiga kemudian dibebaskan dan dibenarkan meneruskan rakaman dan seterusnya pergi ke wilayah Narathiwat dan pekan Tak Bai.
Fadzli pula berkata sebaik ditahan, Zainal Rashid sempat menghubungi pihak NTV7 memaklumkan kejadian berkenaan.
Katanya, pada awalnya beliau dan rakan-rakannya agak bimbang tetapi anggota pasukan keselamatan Thai itu akhirnya berlembut dan melayan mereka dengan baik setelah mereka menjelaskan tujuan mereka ke sana serta menunjukkan dokumen perjalanan dan kad perakuan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia.
Firdaus pula berkata kejadian itu menujukkan pihak berkuasa negara berkenaan mencurigai kemasukan wartawan asing ke wilayah berkenaan.
"Keadaan agak tidak selamat di sana. Semua kawasan pelancongan seperti pekan Sungai Golok menjadi sepi kerana pelancong takut kerana terdapat terlalu banyak anggota tentera berkawal seolah-olah kawasan di selatan Thai kini berada dalam situasi amat berbahaya," katanya.
Ketiga-tiga mereka menyifatkan pengalaman ditahan selama lima jam itu sebagai satu cabaran yang terpaksa ditempuhi dalam menjalankan tugas sebagai pengamal media.

