Universiti Sains Malaysia (USM) telah menangguhkan pengumuman keputusan terhadap seorang pelajar tahun akhir universiti itu berhubung dakwaan penglibatannya dalam pilihanraya umum Mac lalu.

Siasatan terhadap Soh didengar oleh penal lima orang yang dipengerusikan oleh Naib Canselor Prof Madya Dr Jamaluddin Mohaiadin. Siasatan itu berjalan selama dua jam mulai pukul 2.40 petang semalam.

Jawatankuasa tersebut tidak menetapkan sebarang tarikh untuk mengumumkan keputusan siasatan terhadap Soh Sook Hwa, 22 tahun. Bagaimanapun, Soh dijangka diberitahu mengenainya dalam tempoh sebulan ini.

Selain Jamaluddin, tiga pensyarah, seorang pegawai bahagian pembangunan dan hal-ehwal pelajar serta pegawai jabatan keselamatan turut hadir sepanjang siasatan tersebut.

Pegawai universiti yang hadir juga enggan memberi sebarang ulasan apabila ditanya wartawan mengenai hasil siasatan tersebut.

Ketika dihubungi malaysiakini semalam, Soh, yang juga Presiden Persatuan Bahasa Cina USM dan bekas perwakilan pelajar, berkata beliau tidak dapat memberitahu apa-apa mengenai siasatan tersebut.

Soh sudah berulangkali diberi amaran oleh jawatankuasa disiplin USM supaya tidak mendedahkan apa-apa mengenai siasatan tersebut.

Hukuman pemecatan

Di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), pelajar dilarang membuat kenyataan umum atau mengeluarkan kenyataan media tanpa kebenaran bertulis daripada naib canselor.

Peguam Soh, Ang Hean Leng, yang turut berada di universiti itu tidak dibenarkan hadir bersama pelanggannya dengan alasan ianya merupakan siasatan dalaman universiti. Permohonan Soh supaya peguamnya dibenar menghadiri siasatan itu telah ditolak pihak universiti.

Bagaimanapun, peguam Soh dijangka mengemukakan rayuan kepada Menteri Pengajian Tinggi supaya membenarkan Soh diwakili peguamnya.

Soh, pelajar tahun akhir jurusan kewartawan, dituduh melanggar Seksyen 15 Auku dan mencemarkan imej universiti kerana berkempen untuk Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Tian Chua dalam pilihanraya umum Mac lalu.

Jika didapati bersalah, Soh boleh dijatuhkan hukuman maksima dipecat dari universiti. Beliau dijadualkan menamatkan pengajiannya Mac depan.

Soh adalah antara tiga pelajar USM yang disiasat kerana penglibatan mereka dalam pilihanraya. Dua yang lain telah menamatkan pengajian Ogos lalu.

Penyelaras Suaram Pulau Pinang Choo Chon Kai yang juga turut hadir di universiti di Pulau Pinang semalam, mengkritik USM kerana menangguhkan keputusannya tetapi mengarahkan Soh supaya 'menutup mulut'.

Memorandum bersama

Choo memberitahu malaysiakini bahawa pihak universiti tidak perlu mengambil tindakan disiplin dan tindakannya mengarahkan Soh 'menutup mulut' sama seperti mengugut para pelajarnya.

Choo sendiri telah digantung satu semester pada bulan Januari 2002 kerana memiliki lencana anti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Sementara itu, semalam satu delegasi yang dianggotai oleh wakil-wakil masyarakat telah mengemukakan memorandum bersama kepada pegawai USM, menggesa pihak universiti itu supaya menggugurkan dakwaan terhadap Soh.

Memorandum itu yang ditandatangani oleh 53 pertubuhan termasuk Suaram, Badan Hak Asasi Manusia (Hakam), parti-parti politik dan pertubuhan pelajar.

Selain itu, kira-kira 40 pelajar turut hadir bagi menyatakan sokongan mereka kepada Soh. Mereka turut menyampaikan lebih 1,800 petisen yang mereka kumpulkan, kepada seorang pegawai USM, untuk menggesa pihak universiti menghentikan tindakan terhadap Soh.