Peguam: Noh setuju bebaskan dua tahanan di Simpang Renggam
Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Noh Omar telah bersetuju untuk membebaskan dua tahanan di Pusat Tahanan Simpang Renggam kerana prosedur penahanan mereka tidak sah.
Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Noh Omar telah bersetuju untuk membebaskan dua tahanan di Pusat Tahanan Simpang Renggam kerana prosedur penahanan mereka tidak sah.
Ketika memberitahu demikian, peguam mereka, M Manoharan berkata, beliau telah diberi jaminan bahawa pelanggannya Appala Naidu dan Michael Soosai - akan dibebaskan selepas menemui timbalan menteri berkenaan.
"Saya amat positif, selepas pertemuan dengan Noh Isnin lalu, kedua-dua mereka akan dibebaskan sepertimana yang dijanjikan oleh timbalan menteri berkenaan.
"Beliau juga meminta beberapa dokumen yang berkaitan sebelum mengarahkan pembebasan tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini
Naidu dan Soosai adalah antara 225 tahanan di Pusat Tahanan Simpang Renggam yang mengadakan mogok lapar sebagai membantah tindakan mengurungkan mereka secara berterusan dan keadaan tempat tinggal yang teruk di situ.
Kedua-duanya yang dituduh terlibat dengan jenayah samseng dan jenayah lain, ditahan di bawah Ordinan Darurat (Arahan Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 dan dihantar ke pusat tahanan itu pada 29 April.
Ordinan Darurat itu membenarkan pihak berkuasa menahan mereka yang disyaki terlibat tanpa perbicaraan selama dua tahun dan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri akan memutuskan sama ada untuk menyambung penahanan mereka.
Penahan tidak sah
Manoharan berkata selepas mendengar penjelasan daripadanya, Noh pada dasarnya setuju bahawa penahanan itu dibuat secara tidak sah kerana perintah penahanan tidak dikeluarkan semasa mereka ditahan.
Sebelum ini, Manoharan berjaya dalam permohonan habeas corpus bagi pihak Soosai dan berikutan itu, Mahkamah Tinggi Johor Baru telah mengarahkan dia dibebaskan pada 20 Oktober. Bagaimanapun, Soosai ditangkap semula sebaik keluar dari pintu penjara.
"Kedua-dua perintah penahanan mereka - yang dikeluarkan atas alasan yang sama - telah ditandatangani oleh Noh. Beliau hanya mendengar penjelasan daripada pihak polis," kata Manoharan, yang menegaskan bahawa timbalan menteri itu mesti mengotakan janjinya itu.
Noh bagaimanapun tidak dapat dihubungi kerana dipercayai berada di luar negeri.
Seorang lagi tahanan di situ, Balakrishnan, bekas ketua cawangan MIC, juga memfailkan permohonan habeas corpus dan kesnya dijadualkan didengar pada 13 Januari tahun depan.
(Habeas corpus merupakan permohonan kepada mahkamah atau hakim untuk menentukan sama terdapat kecacatan dalam prosedur penahanan yang boleh menyebabkan penahanan itu tidak sah).
Mengakhiri mogok
Sementara itu, Balakrishnan akhirnya menamatkan mogok laparnya selepas mendapat tahu mengenai jaminan yang diberikan oleh timbalan menteri berkenaan. Manakala delegasi daripada Suhakam telah melawatnya Selasa lalu.
Apabila dihubungi, abangnya Thirumoorty berkata Balakrishnan akhirnya menjamah makanan pada jam 1 tengahari selepas mogok lapar selama 15 hari, selepas menerima lawatan daripada wakil Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dan Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Siva Subramaniam di Hospital Kluang hari ini.
"Berdasarkan kepada janji Suhakam untuk membawa kes adik saya kepada pihak kerajaan dan kerana hasratnya hendak menemui wakil Kementerian Dalam Negeri telah dipenuhi, dia memutuskan untuk menamatkan mogok lapar," tambahnya
Semalam, pegawai Suhakam mendedahkan bahawa Balakrishnan dalam keadaan lemah dan doktor berkata organ dalamannya mungkin rosak jika mogok itu diteruskan lebih dari dua minggu.
Rakan-rakannya yang turut mengadakan mogok lapar bersamanya mulai 12 November lalu, telah berhenti berbuat demikian tiga hari lalu.

