Peneroka Felda Gugusan Mempaga, Bentong yang berjumlah kira-kira 1,800 keluarga membantah cadangan pengurusan Felda Berhad untuk melaksanakan skim perladangan seperti yang diamalkan oleh syarikat perladangan lain, di kawasan tanah rancangan tersebut.

Naib Pengerusi Peneroka Felda Mempaga 1, Abdullah Abdul Rahman, 57, berkata, peneroka lebih senang dengan skim sedia ada kerana mendapat tanah 10 ekar sekeluarga sebagai jaminan masa depan.

"Skim perladangan hanya sesuai untuk orang muda kerana tenaga mereka masih kuat dan boleh bekerja di ladang kelapa sawit mahupun ladang getah seperti yang dikehendaki oleh pihak pengurusan syarikat.

"Kalau Felda buat skim itu di sini, Felda akan gagal. Tiada siapa yang mahu masuk skim perladangan," katanya ketika dihubungi malaysiakini.

Pada awal tahun 2002, Felda mengadakan perjumpaan dengan peneroka Mempaga bagi menyatakan hasratnya untuk memperkenalkan skim ladang di kawasan tersebut.

Wakil Felda telah menerangkan tentang kebaikan skim perladangan yang bakal dilaksanakan itu serta meminta peneroka Mempaga menyertainya kerana pendapatannya lebih lumayan dan terjamin.

Skim perladangan itu hanya dilaksanakan kepada peneroka yang belum mendapat hak milik tanah daripada Felda, yang menurut penduduk di situ, membabitkan kawasan seluas 1,000 ekar di seluruh kawasan Mempaga.

Boleh timbul semula

Melalui skim perladangan ini, Felda akan membayar gaji secara bulanan kepada peneroka berbanding skim sekarang di mana mereka mendapat tanah sebanyak 10 ekar selepas 20 tahun.

Dalam perjumpaan tersebut, Abdullah dan peneroka yang lain menyatakan bantahan masing-masing kepada wakil Felda berkenaan dan memberitahunya supaya jangan datang lagi ke tanah rancangan tersebut.

"Selepas itu kami tidak lagi mendengar berita mengenai perkara tersebut tetapi mengakui ada juga beberapa peneroka di Mempaga yang masih menyebar berita mengenainya.

"Bagaimanapun, saya anggap Felda tidak akan mengadakan skim perladangan itu kerana dibantah oleh para peneroka.

"Bagaimana Felda hendak mencari tenaga kerja kerana rata-rata anak muda Felda tidak berminat dengan kerja ladang? Ramai mereka yang lari ke bandar untuk mencari kerja dan menetap di sana," tambahnya.

Boleh dikatakan peneroka asal kawasan Mempaga ini adalah mereka yang berumur lebih 50 tahun dan tidak mampu lagi bekerja mengangkat buah kelapa sawit di ladang dan terpaksa mengupah orang lain.

Seorang lagi wakil peneroka Fadillah Muhamad, 42, dari Mempaga 4 pula memberitahu ramai peneroka di tempatnya masih bimbang kerana khuatir Felda mahu mahu meneruskan skim perladangan tersebut.

"Memang berita ini telah senyap tetapi tidak ada hitam putihnya. Mana tahu tahun depan mucul balik, dalam keadaan sekarang, semua benda boleh berlaku," katanya.

Cadangan peneroka

Beliau berkata, skim perladangan ini ada baik dan buruknya. Baik kerana peneroka akan mendapat pendapatan tetap setiap bulan, tidak baik pula peneroka tidak dapat tanah.

Abdullah pula lebih gembira jika pengurusan ladang diambil sepenuhnya oleh Felda kerana mereka mempunyai pengalaman dan wang ringgit.

"Ia juga untuk mengelak peneroka menjual tanah ladang kepada pihak ketiga kerana mereka sudah tidak mampu lagi mengerjakan ladang masing-masing. Tanah peneroka menjadi rebutan sekarang," katanya.

Sehubungan itu, peneroka Felda Mempaga menghantar cadangan kepada pengurusan Felda supaya setiap peneroka dibayar RM1,500 seorang hasil daripada buah sawit milik mereka, jika mahu meneruskan skim ladang tersebut.

Pada masa ini, pendapatan peneroka bergantung sepenuhnya kepada hasil ladang. Ketika musim menanam semula, Felda memberi pinjaman bulanan RM500 kepada setiap keluarga peneroka.

Bayaran balik pinjaman itu dibuat selepas empat tahun, setelah pokok baru berbuah dan jika pendapatan bulanan peneroka melebihi RM800.

Harga buah kelapa sawit di pasaran tempatan sekarang ialah sekitar RM300 satu tan metrik dan ia berubah mengikut pasaran tetapi tidak melebih RM500.