Sejak dahulu, teksi motor atau ‘ojek’ sentiasa menjadi pengangkutan awam popular di Indonesia, khususnya di bandar besar dan padat penduduk seperti Jakarta,

Susulan perkembangan itu, muncul banyak syarikat pengangkutan memperkenalkan “ojek moden” yang kini mudah diperoleh, termasuk melalui tempahan di Internet.

Antara yang popular termasuk perkhidmatan Gojek, GrabBike, Jeger dan Blue-Jek.

Susulan persaingan sengit itu, sebuah syarikat PT Love Moto Taxi Indonesia (Lomotaxi) tampil dengan idea unik menggabungkan kemudahan pengangkutan bermotosikal dengan keperluan emosi pelanggan.

Dikenali sebagai “Love-jek”, pelanggan kini boleh meluahkan perasaan kepada pemandu kenderaan itu, lapor portal tempatan Viva.co.id.

“Jadi untuk pelanggan Love-Jek yang tidak ada pasangan, anda boleh menggunakan perkhidmatan Love-Jek sebagai teman bersiar-siar atau sebagai pasangan ketika menghadiri majlis yang memerlukan seorang pendamping.

“Kita juga menyediakan pakej pendamping harian yang eksklusif. Dalam pakej itu disediakan bunga, gambar selfie bersama sehingga acara makan malam dengan cahaya lilin.

“Pakej ini tersedia untuk pelanggan lelaki ataupun wanita,” pengasasnya Nabila Mardim dilapor sebagai berkata.

Pemandu rupa menarik, pendidikan tinggi

Bagi menggunakan perkhidmatan ini, pengguna boleh memuat turun aplikasi Love-Jek di Google Play dan AppleStore.

Selepas itu, pelanggan boleh memesan teman untuk meluahkan perasaan dan pemandu akan segera datang bagi mendengar keluh-kesah penggunanya.

Selain itu, pelanggan boleh juga mengajak pemandunya untuk membeli-belah atau ke mana sahaja.

Demi menjaga kualiti perkhidmatan Love-Jek, syarat untuk menjadi pemandu ini sangat ketat.

Syarikat Lomotax hanya menerima pemandu yang mempunyai paras rupa menarik, memiliki ijazah pendidikan tinggi dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.00 ke atas.

Selain itu mereka perlu mempunyai latar belakang pendidikan psikologi atau kaunseling.