PM: Malaysia tak bankrap, masih kukuh
Walaupun berdepan kritikan, Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak berkata realitinya ekonomi negara masih stabil dan kukuh.
“Malaysia, negara kita yang tercinta bukanlah negara yang gagal atau bankrap.
“Sebaliknya kita masih stabil, masih kukuh dengan asas-asas ekonomi dan terus berdaya saing,” katanya yang juga perdana menteri.
Najib berkata demikian ketika membentangkan belanjawan 2016 di Dewan Rakyat, dengan lebih ringkas, kira-kira 90 minit petang ini.
Najib menyandarkan perkara itu kepada perkembangan ekonomi semasa 5.3 peratus baru separuh pertama 2015 dan dianggarkan 4.5 hingga 5.5 peratus sepanjang tahun.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga dijangka berkembang pada kadar 4 hingga 5 peratus pada tahun depan.
Najib juga menjadikan pencapaian di bawah sebagai penanda aras keadaan ekonomi semasa, iaitu:
Eksport tumbuh pada kadar 0.9 peratus dan import 1.5 peratus. Sektor pembinaan berkembang8.4 peratus, perkhidmatan 5.4 peratus, manakala pembuatan sebanyak 4.3 peratus.
Defisit fiskal kerajaan dikurangkan daripada paras 6.7 peratus kepada 3.2 peratus yang dijangka pada tahun ini.
Dalam tempoh 5 tahun, kadar kemiskinan berkurang daripada 3.8 peratus pada tahun 2009, kepada kini 0.6 peratus pada tahun 2014. Kemiskinan tegar hampir disifarkan.
Kadar pengangguran berkurangan kepada kepada 2.9 peratus sementara peluang pekerjaan diwujudkan 1.8 juta peluang pekerjaan.
Seramai 5 juta rakyat di kawasan luar bandar mendapat manfaat kemudahan asas, seperti bekalan elektrik dan air bersih.
Rakyat mendapat pelbagai kemudahan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Klinik 1Malaysia demi meringankan kos sara hidup rakyat.
Kemasukan pelaburan asing terus kukuh pada 22.4 bilion ringgit pada separuh pertama tahun ini. Indeks Bursa Kuala Lumpur mencatat 1,705 mata bersamaan nilai pasaran1.675 trilion ringgit menjelang penutup bursa pada 22 Oktober 2015.
Sementara itu, menyentuh penyusutan nilai ringgit, Najib berkata rizab antarabangsa kekal tinggi sebanyak 418 bilion ringgit pada 15 Oktober 2015.
Perkara itu, katanya, mampu membiayai selama 8.8 bulan import tertangguh dan 1.2 kali hutang luar jangka pendek.
“Lagi pun, pada tahun hadapan, negara dijangka terus berada dalam inflasi terkawal, antara dua hingga 3 peratus,” katanya lagi.

