Majlis ulangtahun kelima malaysiakini mendapat sambutan di luar dugaan apabila dewan makan yang mampu mengisi 1,000 tetamu, penuh sesak dengan kehadiran pelanggan dan penyokong setia akhbar dalam talian tersebut.

Kesemua tempat duduk di dewan makan di Hotel Flamingo penuh dengan hadiran, termasuk mereka yang tidak membuat tempahan awal, tetapi turut datang untuk bersama-sama memeriahkan lagi majlis tersebut.

Berikutan itu, tempat duduk tambahan terpaksa disediakan oleh pihak hotel untuk membolehkan kesemua mereka mendapat tempat dan seterusnya menikmati hidangan pada malam ini serta mengikuti persembahan komedi politik oleh kumpulan Instant Caf Theatre (ICT).

Kehadiran begitu ramai tetamu adalah di luar dugaan memandangkan hujan lebat pada sebelah petangnya dan kesesakan jalanraya yang teruk di Jalan Ampang serta Jalan Hulu Kelang, tempat terletaknya di Hotel Flamingo.

Majlis dimulakan dengan tayangan video perutusan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk malaysiakini sempena ulangtahunya kelima.

Pengasas dan juga Ketua Pengarang malaysiakini , Steven Gan kemudiannya menyampai ucapan mengucapkan terima kasih kepada para hadiran yang begitu ramai di majlis tersebut.

Sindiran politik

Katanya, ianya di luar dugaan berbanding dengan hanya kira-kira 200 orang sahaja yang menghadiri majlis ulangtahun pertamanya sebelum ini.

Beliau kemudiannya menjemput wartawan, kolumnis, kakitangan pemasaran dan pentadbiran serta kakitangan teknikal malaysiakini , naik ke pentas untuk diperkenalkan kepada para hadirin.

Turut berucap di majlis tersebut ialah seorang lagi pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif malaysiakini , Pramesh Chandran, yang menceritakan mengenai latarbelakang yang membawa kepada penubuhan malaysiakini lima tahun lalu dan mereka yang bertanggungjawab menjayakan.

Antara para tetamu yang hadir ialah pemimpin politik daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS, MCA dan MIC. Turut hadir ialah Pengarah Urusan Tabung Pinjaman Pembangunan Media, Sasa Vucinic dan beberapa wakil daripada badan bukan kerajaan.

Majlis bertambah meriah dengan persembahan kumpulan ICT, yang dianggotai oleh Jo Kukathas and Patrick Teoh, yang membuat hadirin tidak kering gusi dengan telatah lucu sindiran mereka mengenai politik tanahair.

Majlis diakhiri dengan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah termasuk tiket penerbangan pergi-balik ke Bintulu dan Surabaya sumbangan Syarikat Penerbangan Murah, Air Asia.

Klik disini untuk lebih gambar.