Bekalan elektrik serta liputan telekomunikasi daerah Tatau, Bintulu hampir lumpuh berikutan kejadian ribut yang menjejaskan lebih 800 penduduk dalam kejadian berlaku pada awal pagi ini.

Pegawai Daerah Tatau Nyurak Keti berkata, jumlah tersebut adalah anggaran bagi penduduk yang tinggal di kawasan pekan serta kampung dan tidak melibatkan penduduk rumah panjang kawasan pedalaman kerana jumlah sebenar mangsa belum terjejas sedang dikenal pasti.

"Kejadian ribut berlaku bermula pukul 1.30 pagi hingga 2.30 pagi menyebabkan bekalan eletrik terputus melibatkan sekolah, pejabat kerajaan dan kedai sehingga sekarang dan Sarawak Energy Berhad (SEB) telah cuba untuk mengembalikan bekalan eletrik pada pukul 7 malam ini.

"Sehingga sekarang kami masih berkerja tanpa eletrik, nak hantar laporan pun susah dan kalau terpaksa menggunakan telefon biasa kerana telefon mudah alih masih kurang jelas," katanya.

Difahamkan antara kawasan yang teruk dilanda ialah Kampung Dagang, Pekan Tatau melibatkan anggaran lebih 40 buah rumah, 20 buah bangunan kedai dan 16 kediaman anggota polis.

"Ribut terlalu kuat sehingga ada sebuah peti ais terbang. Mujur tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan setakat ini," katanya.

Nyurak berkata, talian telekomunikasi melibatkan panggilan menggunakan telefon mudah alih Celcom, Digi dan Maxis mengalami gangguan akibat ribut tersebut.

"Setakat ini majoriti penduduk memerlukan bantuan atap bagi menggantikan atap yang terbang dan untuk sesiapa yang hendak menyalur bantuan boleh menghubungi talian bilik operasi 24 jam iaitu 086-584617.

Nyurak berkata, ribut tersebut adalah yang pertama serta terburuk pernah berlaku di Tatau sehingga menyebabkan hampir satu pekan tersebut terjejas dengan atap terbang serta atap dan bangunan Masjid Darul Ibadah musnah.

Daerah Tatau terletak 60 kilometer atau 45 minit menggunakan jalan darat dari bandar Bintulu.

-Bernama