Sejumlah RM7.23 juta digunakan oleh polis untuk mengawal BERSIH 4 dan Himpunan Rakyat Bersatu 16 September, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Anthony Loke (DAP-Seremban).
Loke meminta menteri dalam negeri menyatakan jumlah anggota polis yang dikerahkan untuk mengawal dua perhimpunan besar itu serta jumlah kos yang ditanggung polis.
Selain itu, Zahid mendedahkan, jumlah pasukan keselamatan yang digunakan semasa perhimpunan 16 September yang bertemakan baju merah, dua kali ganda berbanding BERSIH.
Ini berlaku walaupun perhimpunan BERSIH 4, yang mendesak pengunduran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil masa dua hari.
Dalam himpunan BERSIH 4 pada 29 dan 30 Ogos, seramai 191 orang pegawai dan 2,419 orang anggota lain-lain pangkat telah bertukar mengawal keadaan. Ia menelan kos RM2,737,440.
Manakala bagi himpunan 'Baju Merah', seramai 263 orang pegawai dan 3,648 orang anggota lain-lain pangkat terlibat dan kos yang digunakan berjumlah RM4,500,927.50
Selain itu, Zahid berkata, bagi kedua-dua penugasan itu, polis mengguna pakai semua elemen dalam pasukan polis.
Ia terdiri daripada keanggotaan ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi, Cawangan Trafik, Jabatan Siasatan jenayah (JSJ), Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) dan Cawangan K9 JSJ.
"Kesemua elemen ini adalah di bawah kawal selia Ketua Polis Kuala Lumpur," kata Zahid lagi.
