Speaker tolak usul tergempar Kit Siang mengenai PMC
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib menolak usul tergempar dari pembangkang supaya dewan membincangkan isu kegagalan Perunding Pengurusan Projek (PMC) menyiapkan projek kerajaan dan projek-projek pembangunan yang lain.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib menolak usul tergempar dari pembangkang supaya dewan membincangkan isu kegagalan Perunding Pengurusan Projek (PMC) menyiapkan projek kerajaan dan projek-projek pembangunan yang lain.
Ketika menolak usul tersebut, Ramli bersetuju bahawa isu itu berpentingan umum tetapi menegaskan ianya bukan isu 'tergempar' kerana kerajaan sudah bertindak terhadap kontraktor-kontraktor terbabit.
Menurutnya, beliau telah diberitahu bahawa semua projek kerajaan kini diletakkan di bawah penyeliaan agensi teknikal sepertimana yang terkandung dalam pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, tahun ini.
Mengenai projek-projek yang masih di bawah PMC, kementerian berkenaan telah mengarahkan supaya agensi-agensi berkaitan mengawasinya agar disiapkan mengikut jadual.
Tindakan akan diambil sekiranya terdapat mana-mana projek terbabit yang menghadapi masalah.
"Oleh itu, tiada lagi isu untuk dibincangkan melalui usul tersebut kerana tindakan sudah diambil berhubung semua isu yang dibangkit," kata Ramli dalam suratnya kepada Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timor).
Percubaan ketiga
Jumaat lalu, Lim mengemukakan usul tergembar di bawah Perintah Tetap 18 (1) meminta supaya persidangan ditangguhkan untuk membincangkan kegagalan projek-projek kerajaan.
Ini merupakan percubaan ketiga Lim. Sebelum ini, beliau mengemukakannya melalui usul biasa. Lim juga turut menggunakan perintah tetap yang jarang digunakan, untuk mengemukakan soalan mengenai perkara yang sama.
Lim juga menghantar surat kepada Menteri Kerjaraya Datuk Seri S Samy Vellu minggu lalu berhubung perkara tersebut, tetapi belum menerima sebarang jawapan.
Persidangan dewan menjadi kecoh pagi ini apabila Lim cuba untuk membaca usul tergempar tersebut.
Bercakap kepada wartawan kemudiannya, Lim berkata, alasan yang diberikan oleh Speaker untuk menolak usul itu adalah "tidak memuaskan dan tidak dapat diterima".
Beliau menyifatkan keputusan Ramli itu sebagai "salah dan bertentangan dengan dengan usaha untuk menjadikan Dewan Rakyat sebagai "Parlimen Kelas Pertama Dunia".
Alasan lemah
"Speaker nampaknya mempunyai piawaian yang rendah terhadap kebertanggungjawapan kerajaan serta peraturan yang longgar kerajaan dalam mengawasi wang rakyat," katanya.
Kata Lim, mana-mana Ahli Parlimen yang berhemat dan bertanggungjawab akan menolak dua alasan tersebut yang menurutnya diberikan semata-mata untuk menolak usul tergempar itu dibincangkan di Parlimen.
Beliau juga menyifatkannya sebagai alasan yang lemah dan sebagai satu percubaan untuk mengalihkan pandangan dari isu tersebut.
Menurut Lim lagi, beliau akan mengemukakan usul substantif yang memerlukan dua hari notis supaya keputusan Speaker itu dikaji semula.
Sebelum ini, Menteri Kerjaraya telah meletakkan kesalahan itu ke atas PMC yang terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.
Samy Vellu mendakwa PMC telah merampas fungsi, kuasa dan tanggungjawab Jabatan Kerjaraya untuk mengawasi dan menyelia projek pembangunan infrastruktur kerajaan.
Menuggu taklimat
Sementara itu, para penyokong kerajaan masih menunggu taklimat daripada Samy Vellu yang diarahkan berbuat demikian oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bulan lalu.
"Kami masih menunggu untuk mendapatkan maklumat lanjut...Menteri berkenaan tahu yang kami sedang menunggunya," kata Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Shahrir Samad ketika dihubungi baru-baru ini.
Beliau berkata, pihaknya juga akan menemui Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Najib untuk menyuarakan pandangan mereka.
Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Nazri Abdul Aziz berkata Kabinet belum membuat sebarang keputusan sama ada Samy Vellu perlu memberi taklimat tersebut.

