Mungkin ramai yang berfikir bahawa dengan mengenakan caj penuh perubatan ke atas warga asing akan mempunyai kesan yang sedikit atau tiada langsung kesannya terhadap rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, ia mungkin berlaku sebaliknya.
Ini kerana pekerja asing yang berpendapatan rendah akan mengambil jalan keluar untuk mengelak rawatan penyakit dan sebaliknya menggunakan kaedah rawatan sendiri.
Dan akibatnya, ia akan memburukkan lagi keadaan kesihatan diri mereka.
Oleh itu, risiko kesihatan yang dihadapi rakyat Malaysia akan meningkat, terutamanya dalam kes penyakit berjangkit.
Mengulas mengenai dasar baru itu, pengasas bersama dan pengarah Health Equity Initiatives, Sharuna Verghis, berkata mengenakan caj penuh perbuatan ke atas warga asing bermakna peningkatan sebanyak 70 peratus dalam bayaran perubatan di tempat kemudahan jagaan kesihatan awam, dan ia "amat membimbangkan".
"Dasar baru itu akan menyekat akses kepada penjagaan kesihatan bagi bukan warganegara, terutamanya golongan berpendapatan rendah," kata Sharuna. NGO beliau merupakan pertubuhan kebajikan kesihatan mental untuk pelarian.
Beliau juga percaya bahawa dasar itu kurang memberi keadilan berdasarkan beberapa alasan.
Antaranya, tegas beliau, pendatang yang sah juga membayar jumlah cukai yang besar dalam bentuk levi tahunan.
"Sebagai satu prinsip pembiayaan kesihatan yang diterima sejagat, dalam kes seperti ini, mereka juga mesti boleh mendapat akses kepada penjagaan kesihatan bersubsidi," kata Sharuna.
Bagi insurans kesihatan mandatori yang pekerja asing dikehendaki membelinya, Sharuna berkata ia hanya akan meliputi fi hospital serta fi pembedahan dan tidak termasuk kos rawatan pesakit luar.
"Ini memburukkan lagi masalah akses mereka kepada penjagaan kesihatan. Kekurangan akses kepada pencegahan dan promosi kesihatan juga bermakna mereka tidak akan dapat membuat keputusan mengenai keperluan kesihatan mereka, yang meletakkan kesihatan mereka, dan kesihatan rakyat Malaysia juga, pada risiko, terutamanya bagi penyakit berjangkit, "katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan Bajet 2016 Jumaat lalu mengumumkan bahawa kerajaan akan mengenakan caj penuh perubatan ke atas bukan warganegara mulai 1 Januari 2016.
Sementara itu, Penyelarasan Tindakan Penyelidikan AIDS dan Mobiliti (Caram) bagi rantau Asia, Mohammad Harun Al Rashid bertanya bagaimana pekerja asing, dengan gaji yang kecil, boleh membayar bil hospital sekiranya mereka terlibat dalam kemalangan.
Harun juga menegaskan bahawa semua pekerja asing mesti dipastikan terlebih dahulu ada insurans kesihatan yang sepatutnya.
"Tanpa mempunyai insurans yang betul, bagaimana mereka akan membayar apabila kita mengenakan caj penuh perubatan?" katanya
Dalam keadaan sedemikian, Harun bertanya, adakah itu akan membantu produktiviti negara.
Beliau juga menegaskan bahawa pekerja asing telah pun membayar levi kepada Jabatan Imigresen.
"Jadi bagaimana kerajaan akan justifikasi levi ini sebagai perkhidmatan untuk pekerja asing?"
Harun mencadangkan Kementerian Kewangan menganggap levi yang dibayar kepada pihak berkuasa imigresen sebagai sebahagian daripada bajet Kementerian Kesihatan.
"Perlu ada wang daripada levi itu disalurkan kepada Kementerian Kesihatan untuk menampung kos tersebut," katanya.
Pada masa ini, tegas Harun, tidak ada bajet untuk itu dan Kementerian Kesihatan perlu menyediakan kewangannya.
Di Malaysia, terdapat kira-dua juta pekerja asing yang sah, di samping kira-kira 2.2 juta pekerja asing tanpa izin.
Kebanyakan pekerja asing adalah dalam bidang pekerjaan kolar biru dalam industri pertanian, pembinaan dan perkilangan. Baca berita penuh
